Kurang permintaan punca lambakan barang basah

Azman (tengah) ketika meninjau jualan sayur di Pasar Besar Alor Setar pada Khamis.
Azman (tengah) ketika meninjau jualan sayur di Pasar Besar Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Penurunan harga barangan basah seperti sayuran dan hasil laut menyebabkan berlaku lambakan di beberapa kawasan ketika Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) dilaksanakan.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, lambakan itu dipercayai berpunca daripada kurangnya permintaan pemilik kedai makan dan restoran.

“Pembeli dalam sektor komersial memberi kesan besar kepada berlakunya lambakan selain restoran mahupun kedai makan berskala kecil memilih untuk tidak meneruskan operasi sepanjang PKP walaupun dalam konsep ‘tapau’.

"Memang masih terdapat pelanggan tetapi ia tidak mampu menandingi kos yang perlu ditanggung berbanding konsep makan di premis,” katanya.

Azman berkata, konsep jualan bungkus menjejaskan pendapatan peniaga selain tidak mampu mengatasi pulangan modal.

“Kerajaan harus memikirkan kesan daripada rantaian yang berkait ini kerana ia menjejaskan ramai pihak.

"Mungkin perlu ada sedikit kelonggaran dengan pemantauan peorsedur operasi standard (SOP) yang ketat mengikut kadar kes Covid-19 setempat manakala bagi kawasan yang kurang kes diberikan kelonggaran,” katanya

Mengulas lanjut, Azman berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan demi kelangsungan hidup bermula daripada pencari sumber hasil sehingga kepada pencari rezeki di peringkat bawah seperti restoran dan kedai makan.

Artikel Berkaitan:

“Jangan sampai konsep ‘bungkus makanan membuatkan kedai pun bungkus’. Oleh yang demikian, kita perlu laksanakan PKP dan SOP secara bijak,” katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan peniaga mendakwa sebelum ini beberapa jenis sayur mengalami kenaikan harga sehingga 50 peratus namun kini harganya kembali menurun.

PKP yang dilaksanakan ketika ini menyebabkan pergerakan orang ramai terhad sehingga memberi kesan kepada hasil jualan selain pembeli mengurangkan pembelian barang keperluan lain.

Minggu lalu, tinjauan mendapati harga barangan basah dan keperluan asas di Pasar Besar Alor Setar mencatatkan penurunan dalam tempoh PKP bermula 22 Januari lalu.

Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Fauzi Sharip memaklumkan tiada kenaikan harga barangan basah atau runcit dikesan dalam tempoh PKP dan pengguna diminta tidak membuat pembelian panik susulan bekalan mencukupi serta harganya makin menurun.