X

Kindly register in order to view this article
!

Siapa pula selepas ini?

Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi pada Rabu bagi keputusan kes yang dihadapinya atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak. - Foto Bernama. Gambar kecil: Antara yang terlibat dalam kes mahkamah berprofil tinggi.
A
A

SHAH ALAM - Selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didapati bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu sekali lagi menjadi tumpuan apabila mengumumkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bersalah atas pertuduhan kes rasuah RM3.09 juta.

Antara kes mahkamah berprofil tinggi lain yang dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur ialah pada 3 Februari ini.

Ia melibatkan perbicaraan kes rasuah RM2.8 juta melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abd Samad yang sepatutnya berlangsung pada Selasa ditangguhkan, selepas saksi perbicaraan dilaporkan tidak sihat.

Pada 3 Mei tahun lalu, Bung Moktar, 61, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Selain itu, dalam bulan yang sama iaitu 8 Februari, dijangka berlangsung sebutan kes bagi Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif.

Abdul Azeez didakwa secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, yang juga pengarah syarikat, Menuju Asas Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, dua hari selepas itu iaitu 10 Februari ini, akan berlangsung penghujahan secara lisan bagi kes isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah berhubung projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah menetapkan tarikh itu sebelum memutuskan sama ada Rosmah, 70, dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

Najib sekali lagi akan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

Setakat ini, antara saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan ialah bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Seorang lagi pemimpin UMNO akan hadir di Mahkamah Kuala Lumpur pada 22 Februari ini ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, 68, yang juga Presiden UMNO, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan dijadualkan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Fairul Rafiq Hamiruddin untuk memberi keterangan pada perbicaraan akan datang.

Pada 12 April depan, beliau dijadualkan untuk menghadiri kes membabitkan 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Tarikh perbicaraan bagi kes ini ditetapkan pada April 2021 iaitu 12 hingga 15, 19, 20 hingga 22 dan 26 hingga 28.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Terbaharu, kes membabitkan pemimpin DAP iaitu bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 31 hari bermula Jun depan bagi perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Kewangan itu.

Terdapat satu kes dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.

Pada 11 Ogos lalu, Ahli Parlimen Bagan itu dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng serta ahli perniagaan, Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Pada 5 Julai depan, perbicaraan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan akan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu akan berlangsung Julai depan.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang telah diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, yang mana cek itu telah ditunaikan sendiri oleh tertuduh pada hari sama.

Seorang lagi, Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar permohonannya bagi memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berdasarkan afidavit yang difailkan pada 17 Disember tahun lalu, Shahrir memohon kepada mahkamah untuk suatu perintah agar Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kes itu dan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang lain kerana terdapat ‘real possibility (danger) of bias’.

Mahkamah menetapkan 8 Februari untuk mendengar permohonan berkenaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!