Lebih 1,000 pekerja diberhentikan perlu bantuan makanan: SDNU

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Lebih 1,000 orang di Bahagian Sibu amat memerlukan bantuan makanan selepas hilang pekerjaan atau pendapatan berikutan penutupan tempat kerja mereka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bahagian itu sejak 16 Januari lepas.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sibu, Chambai Lindong berkata, mereka yang terjejas adalah dari luar bandar yang bekerja sebagai buruh am, tukang masak dan pembantu di kedai kopi, restoran dan bistro, pembantu di salun rambut, juruelektrik dan pengimpal, pemandu lori dan atendan, pembantu kedai, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan.

Katanya, sejak 26 Januari lalu, SDNU telah menyerahkan nama mereka melalui cawangan SDNU Sibu untuk memohon bantuan makanan tersebut, namun ramai yang mengadu mereka belum menerima bantuan makanan di bawah program 'Sarawakku Sayang'.

"Kami menerima permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan makanan melalui WhatsApp dan sehingga kini, kami telah menyerahkan lebih 1,000 nama kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Sibu melalui Pejabat Daerah Sìbu untuk menyelaras pengagihan bakul makanan tersebut.

"Nama-nama mereka yang memerlukan bantuan makanan masih lagi kami terima," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Chambai berkata, mereka tidak mempunyai wang untuk membeli makanan untuk keluarga dan mereka amat memerlukan makanan dengan segera.

"Kami percaya situasi mereka adalah benar. Terdapat 11 hari lagi PKP 2.0 di Sìbu. Sekiranya mereka tidak menerima bantuan makanan dengan segera, keadaan mereka akan bertambah teruk. Simpanan mereka, jika ada, akan kering. Dan jika itu berlaku, ramai yang akan kelaparan," katanya.

Organisasi itu juga prihatin terhadap penduduk luar bandar di Sìbu Jaya yang berada dalam situasi sama kerana ramai antara mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan di mana hendak mendapatkan bantuan.

Artikel Berkaitan:

Chambai berkata, situasi yang dihadapi penduduk luar bandar yang tinggal di bandar Sìbu itu sememangnya membimbangkan.

"Ramai daripada mereka mahu pulang ke rumah panjang masing-masing tetapi di bawah PKP, mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

"Harapan mereka kini terletak pada jawatankuasa bencana. Lebih awal bantuan makanan diberikan kepada mereka, lebih baik," katanya - Bernama