Ejen tiket kecewa dakwa tiada perbincangan

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI PETANI – Lebih 20 ejen tiket di Terminal Bas Kompleks Ukir Square kecewa dengan keputusan penamatan sewa kaunter melalui satu notis bertarikh 9 Januari 2019 didakwa dilakukan tanpa sebarang perbincangan.

Pengerusi Persatuan Usahawan Ukir Square, Mohd Iedir Mohamed, 40, yang mewakili kumpulan itu berkata, keputusan itu dibuat serta-merta tanpa perbincangan dengan persatuan di mana mereka diminta mengosongkan kompleks berkenaan berkuatkuasa 10 Februari 2019.

Menurutnya, selain meminta kawasan itu dikosongkan, operasi bas juga akan dipindahkan ke tapak lama stesen bas ekspres yang terletak bertentangan jalan.

“Kami semua tak setuju dengan cara pihak pengurusan buat keputusan tanpa perbincangan dengan ahli, kalau nak suruh pindah, kat tapak sana tak dak kemudahan, hanya tapak kosong sahaja, macam mana kami nak uruskan penumpang dan bas.

“Di sini depa suruh tutup, maknanya tak bagi jual tiket lagi, jadi kami semua nak makan apa?,” katanya.

Tindakan berkumpul sejak jam 9 pagi bagi menyatakan kekecewaan mereka berlarutan sehingga lebih sejam menyebabkan beberapa buah bas yang sepatutnya memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur tertangguh.

Penumpang, Ridzuan Kasari, 27, dari Merbok berkata, dia sepatutnya memulakan perjalanan pada jam 10.30 pagi dari Sungai Petani ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) , namun sehingga 11.30 pagi, bas yang ditunggu belum tiba.

“Depa habaq tunggu saja sebab depa kata ada masalah dengan pihak pengurusan. Saya kerja esok jadi kena balik hari ini juga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penuntut Diploma Penguatkuasa Undang-Undang Kolej Newton, V Kavithiren, 21, berharap masalah yang berlaku dapat diatasi segera memandangkan telah menjejaskan jadual perjalanan penumpang sepertinya yang telah dirancang lebih awal.

“Saya ada kuliah esok, jadi saya harap perkara ini dapat diselesaikan cepat dan tidak akan menjejaskan penumpang,” katanya telah menunggu kira-kira dua jam.

Sementara itu, Eksekutif Operasi Darulaman Solutions Sdn Bhd (DSSB), Zulkarnain Mahamad berkata, tindakan pengosongan dibuat bagi tujuan pelaksanaan sistem tiket berpusat atau centralised ticketing systems (CTS).

Menurutnya, DSSB adalah anak syarikat Darulaman Aset Sdn Bhd bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah menerima arahan daripada kerajaan negeri supaya melaksanakan sistem CTS bermula 1 April 2019.

“Kita perlu akur dengan arahan kerajaan negeri yang mahukan sistem ini dilaksanakan, jadi arahan pengosongan kompleks dilakukan bagi menaik taraf sistem yang bakal dilaksanakan di Terminal Bas Kompleks Ukir Square,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setelah luahan ejen tiket diutarakan melalui perhimpunan hari ini, akhirnya pihak atasan membenarkan penangguhan dibuat.

“Atas arahan, kita telah mengeluarkan surat penangguhan selama satu minggu bagi melanjutkan tempoh agar memberi laluan perbincangan antara persatuan dengan Exco Pengangkutan dan PKNK sepertimana yang disuarakan,” katanya.

Beliau berkata, surat penangguhan telah diserahkan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, sebelum ahli persatuan itu bersurai.

Perjalanan bas ekspres yang tertangguh selama beberapa jam semalam akhirnya berjalan seperti biasa.