Bekas pegawai kanan AGC gesa siasatan terhadap Tommy

Tommy Thomas
Tommy Thomas
A
A
A

CYBERJAYA - Bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat laporan polis dan menggesa siasatan dijalankan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung kandungan buku 'My Story: Justice in the Wilderness'.

Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan itu di Balai Polis Cyberjaya sekitar jam 8 malam pada Selasa.

Menerusi laporan polis yang dilihat oleh Sinar Harian, Mohamad Hanafiah berkata, halaman 248 telah memfitnah dan memburukkan imejnya sebagai penjawat awam kanan ketika itu.

"Petikan ini merujuk kepada penyediaan dan persiapan pasukan pendakwaan dalam kes pendakwa raya lawan Datuk Seri Najib (Tun) Razak (kes SRC International) di mana ketika itu pada tahun 2018 saya merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, AGC," katanya.

Mohamad Hanafiah berkata, petikan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan mempunyai konotasi serta nuansa bahawa beliau tidak berkemampuan untuk mengetuai dan menyelia pasukan pendakwaan tersebut dan lebih selesa menjalankan tugas pentadbiran.

"Dalam ingatan saya, sebaik sahaja mendapat arahan daripada Tommy untuk meneliti kertas siasatan kes SRC tersebut, saya telah mewujudkan pasukan timbalan pendakwa raya terbaik dan berpengalaman perkhidmatan kehakiman serta perundangan.

"Ia untuk meneliti segala keterangan dalam kertas siasatan dan menyediakan pertuduhan berdasarkan keterangan yang ada serta transaksi kewangan yang kompleks," katanya.

Menurutnya, tidak timbul isu bahawa beliau akan mengetuai pasukan pendakwaan tersebut sebaliknya peranannya adalah sebagai pegawai undang-undang paling kanan dan mempunyai pengalaman luas dalam pasukan itu.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang proses penyediaan kes itu, Tommy telah memaklumkan kepada kami bahawa beliau sendiri akan mengetuai pasukan tersebut tambahan bagi kes sebesar ini wajarlah peguam negara sendiri mengetuai pasukan sebagaimana peguam-peguam negara lakukan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, sekitar dua atau tiga bulan sebelum perbicaraan bermula, Tommy didakwa memberitahunya untuk tidak terlibat lagi dengan kes berkenaan.

"Pada ketika itu saya memegang jawatan sebagai Peguam Cara Negara III telah diarahkan Tommy untuk memberi perhatian terhadap kerja pentadbiran di AGC," katanya.

Tegasnya,Tommy tidak pernah memberitahunya pada bila-bila masa untuk mengetuai pasukan tersebut.

"Penulisan Tommy telah memburukkan imej saya sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya yang telah berkhidmat selama 33 tahun dan digambarkan sebagai seorang yang malas serta tidak berupaya mengendalikan kes," katanya.

Mohamad Hanafiah mendakwa tuduhan Tommy itu hanya sebagai alasan untuk melantik peguam-peguam yang merupakan kawannya.

"Ketidakupayaan ada pada dirinya kerana tidak lama selepas itu, Tommy telah melantik Datuk V Sithambaram untuk membantunya dalam perbicaraan," katanya.

Tommy sebelum ini melancarkan buku tersebut yang menceritakan pencapaian dan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu dengan antara isu utama seperti pendakwaan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah kontroversi, Zakir Naik dan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tu Dr Mahathir Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN: JALSOA kecam Tommy Thomas

Najib tuntut RM10 juta dan permohonan maaf daripada Tommy