Nasib Palestin zaman Joe Biden

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

DONALD Trump ketika menang kerusi Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 pada tahun 2017 telah melaksanakan agenda pertamanya dalam memerangi gejala Islamophobia dengan tindakannya mengharamkan orang Islam dari tujuh buah negara Islam memasuki negaranya.

Mungkin ramai yang masih ingat kenyataan Trump kepada Anderson Cooper daripada CNN iaitu 'Islam membenci kita’ yang dengan sendirinya menyatakan bahawa penganut Islam yang berjumlah 1.6 bilion di seluruh dunia memusuhi AS.

Sebenarnya isu itu telah lama berlaku dan penulis Barat sendiri iaitu John L Esposito menggambarkan hal itu dalam tulisannya tentang gejala Islamopobhia sebagai 'satu pendirian yang membawa kehancuran terhadap kemanusiaan (apocalyptic world view) dengan tindakan yang melulu dan hanya mengandungi unsur-unsur ketakutan yang tidak berasas’.

Menurut Esposito, pendirian itu juga mengesahkan hasrat Trump yang bercadang menukar program Memerangi Keganasan Puak Pelampau (Countering Violent Extremism-CVE) kepada Memerangi Keganasan Islam (Countering Islamic Violence-CIV).

Dengan keangkuhan Trump dan persepsinya yang amat menyeleweng terhadap umat Islam, maka pada 6 Disember 2017, Trump telah membuka satu sejarah baharu bagi kedaulatan negara Islam dengan mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara Yahudi.

Keputusan Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel berdasarkan peristiwa yang berlaku pada tahun 1967 ketika berlaku peperangan selama lima hari pada bulan Jun antara Arab dan Israel.

Akhirnya, Israel berjaya menawan beberapa wilayah negara Arab Mesir dan Syria termasuk Baitulmaqdis yang ketika itu dikuasai Jordan.

Sejak Israel menguasai Masjid Al-Aqsa, banyak peristiwa kejam yang amat menyedihkan berlaku kepada rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

Malah yang amat mencabar dan menghina umat Islam seluruhnya adalah ketika mereka menghadapi tindakan kejam yang tidak pernah mereka alami seperti yang berlaku dalam sejarah Palestin iaitu tatkala Israel mengambil tindakan menutup pintu Masjid Al-Aqsa dan menegah umat Islam menunaikan solat termasuk solat Jumaat di dalam masjid tersebut.

Israel tahu bahawa kerajaan Palestin berpecah-belah dan mereka juga mengetahui kerajaan tersebut ibarat retak menanti belah, maka mereka mengambil kesempatan mencari jalan melaga-lagakan sesama rakyat Palestin.

Lalu berlakulah pertelagahan serius antara pengikut politik yang berbeza itu.

Sementara itu, kerajaan Israel menyedari bahawa kerajaan mereka amat kebal.

'Untouchable' mengikut istilah mereka sendiri dan disokong kuat pula oleh gerakan zionis antarabangsa, juga kuasa besar AS yang telah bertindak kejam di Iraq dan Afghanistan.

Hal itu menjadi semakin parah ketika beberapa buah negara Arab sendiri telah mengakui kedudukan negara Israel dan menjalinkan hubungan diplomasi dengan rejim yahudi itu tanpa sebarang permuafakatan antara negara-negara Arab tersebut dan menjarakkan perhubungan politik sesama negara Islam.

Ramai Presiden AS telah bertukar ganti tetapi keadaan di Palestin masih sama sahaja.

Kita hanya boleh berharap dengan kejatuhan Trump dan kenaikan penggantinya, Presiden Joe Biden, maka nasib Palestin dan rakyatnya akan mendapat sedikit cahaya kebebasan serta terlepas daripada segala penyeksaan yang telah lama mereka deritai selama ini.

Namun kita hanya mungkin dapat berdoa kepada ALLAH SWT sedangkan negara-negara Islam sendiri tidak mengenal istilah perpaduan dan pergerakan bersama.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia