X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan rasuah Isa Samad jam 9.30 pagi ini

Mohd Isa
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan mengetahui nasibnya sama ada dibebas atau disabitkan kesalahan bagi kes rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka memberi penghakimannya pada jam 9.30 pagi.

Selain kes Mohd Isa, terdapat satu lagi kes rasuah berprofil tinggi akan berlangsung di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Ia membabitkan kes pertuduhan rasuah dan bersubahat rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra) membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abd Samad.

Bagaimanapun, orang awam yang tidak mempunyai sebarang urusan tidak dibenarkan untuk memasuki kompleks berkenaan ekoran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Ia termasuk pihak media, apabila hanya 20 petugas dibenarkan membuat liputan kes Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Isa Samad dalam mahkamah, melalui pautan video di bilik lain.

Mohd Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai pasukan pembelaan.

Perbicaraan kes itu bermula 8 Oktober 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 22 saksi untuk memberi keterangan.

Antara saksi tersebut ialah bekas Ketua Pengarah Felda, Datuk Hanapi Suhada; bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, Ikhwan dan Muhammad Zahid.

Pada 16 Jun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Mohd Isa membela diri atas sembilan pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti kukuh yang menepati setiap inti pati kesalahan menerima suapan menurut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM.

Bagaimanapun Mohd Nazlan melepaskan dan membebaskan Mohd Isa daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT) berhubung pembelian hotel itu tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan prosiding pembelaannya bermula pada 17 Ogos tahun lepas.

Dalam keterangannya, Mohd Isa menafikan menerima RM3 juta menerusi sembilan transaksi daripada Muhammad Zahid berhubung pembelian MPHS pada tahun 2014.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan kes rasuah Isa Samad 3 Februari depan

Kes Isa Samad: Pihak pembelaan tutup kes selepas panggil 6 saksi

Mohd Isa nafi terima RM3 juta daripada pegawai khasnya


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!