X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Jihad dalaman menentang nafsu

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

DALAM usaha menangani gejala rasuah di Malaysia, kita perlu mengenal pasti kumpulan-kumpulan yang wujud dalam ekosistem masyarakat kita.

Kumpulan berkenaan boleh dikenal pasti dan dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu corrupt (sudah disuap), incorruptible (tidak boleh disuap) dan corruptible (boleh disuap).

Kumpulan pertama iaitu kumpulan corrupt terdiri daripada orang-orang yang sudah jelas dan terbukti memberi dan/atau menerima rasuah.

Kumpulan itu kita laporkan dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk dikenakan tindakan sewajarnya.

Seterusnya, kumpulan kedua iaitu kumpulan incorruptible pula terdiri daripada orang-orang yang mempunyai integriti dan tidak akan terjebak dengan segala bentuk aktiviti rasuah.

Jika mereka ditawarkan sehingga RM10 juta di depan mata pun, mereka tidak akan berganjak dengan pendirian dan pegangan mereka.

Golongan inilah yang sepatutnya menjadi dominan dalam masyarakat.

Kumpulan terakhir adalah kumpulan corruptible dan kumpulan itu wajib mendapat perhatian utama serta dijadikan focus group oleh semua pihak kerana mereka berpotensi untuk menyertai kumpulan corrupt.

Mereka belum terjebak dalam kegiatan rasuah tetapi jika ditawarkan suapan, boleh jadi mereka akan terus ambil atau pada mulanya menolak, namun lama-kelamaan akan tewas juga dengan daya tarikan wang dan habuan di depan mata.

Kumpulan itu terdiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuklah pelajar sekolah dan universiti, pegawai kerajaan dan swasta, guru dan pendidik, profesional dan selanjutnya.

Mereka mesti dididik dan dijaga supaya mereka naik ke atas menyertai kumpulan incorruptible dan bukannya jatuh ke bawah menyertai kumpulan corrupt.

Hakikatnya, apabila dilihat daripada kaca mata Islam, kumpulan incorruptible boleh dipanggil sebagai golongan qalbun salim (hati yang bersih), manakala corruptible sebagai qalbun marid (hati yang sakit) dan corrupt sebagai qalbun mayyit (hati yang mati).

Ketiga-tiga istilah Arab ini boleh dirujuk dalam al-Quran: “Iaitu pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak berguna. Kecuali orang-orang yang menghadap ALLAH dengan hati yang bersih. (Q, 26:88-89)

“Dia (ALLAH) ingin menjadikan godaan yang ditimbulkan syaitan itu sebagai ujian bagi orang-orang yang dalam hatinya ada penyakit dan orang yang berhati keras. Dan orang-orang yang zalim itu benar-benar dalam permusuhan yang jauh. (Q, 22:53)

Hati tertutup

“Dan sesiapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua tangannya? Sesungguhnya Kami telah menjadikan hati mereka tertutup, (sehingga mereka tidak) memahaminya dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka.” (Q, 18:57)

Selain itu, terdapat juga hadis yang sangat masyhur yakni: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam ayat-ayat suci al-Quran dan hadis tersebut, perkataan qalb yang digunakan adalah kalbu yang bermaksud hati, yakni hati sebagai pusat segala perasaan batin. Kita boleh menyimpulkan bahawa gejala rasuah adalah berkait rapat dengan soal kalbu seseorang.

Orang yang menjaga kalbunya pasti tidak akan terjebak dengan rasuah kerana kalbu adalah ‘rumah’ al-Quran, di mana kesemua wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dimasukkan ke dalam kalbu baginda (Q, 2:97 & 26:192-194).

Selain itu, jihad menentang rasuah bukan sekadar berjihad luaran secara fizikal tetapi yang lebih utama dan lebih besar impaknya adalah jihad dalaman yang menentang hawa nafsu, juga dipanggil sebagai mujahadatun nafs.

Maka, kumpulan corruptible atau golongan qalbun marid perlu didedahkan kepada mujahadatun nafs sebagai pengubat, perawat dan pencegah kepada wabak rasuah agar mereka dapat menaikkan taraf diri mereka ke kumpulan incorruptible atau golongan qalbun salim.

* Khairuddin Aziuddin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Insan Siddiq Berhad


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!