Pesan Thaksin...

Mesej Thaksin menerusi Twitter itu menggesa semua pihak terus melangkah dan belajar daripada pengalaman lalu.
Mesej Thaksin menerusi Twitter itu menggesa semua pihak terus melangkah dan belajar daripada pengalaman lalu.
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mengeluarkan kenyataan awam pertama seminggu selepas 'drama' melibatkan parti yang dikaitkan dengan beliau dan keluarga diraja.

Menerusi akaun Twitter beliau, Thaksin memuat naik mesej pendek pada lewat semalam dengan menyatakan 'Pandang ke atas dan terus melangkah. Kita belajar daripada pengalaman lalu, namun hidup untuk hari ini dan masa depan. Bergembiralah! Hidup mesti diteruskan!'

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Parti Thai Raksa Chart yang setia kepada Thaksin mencalonkan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi, 67, untuk jawatan perdana menteri dalam Pilihan Raya Umum pada bulan depan.

Langkah itu bagaimanapun tidak dipersetujui adiknya yang juga Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.

Keputusan parti itu turut mengejutkan Thailand berikutan keluarga diraja sememangnya dilindungi daripada undang-undang lese-majeste yang memberi mereka kekebalan daripada sebarang kritikan.

Thaksin dan sekutunya telah memenangi setiap pilihan raya sejak 2001 dan parti yang dikaitkan dengan bekas pemimpin yang kini hidup dalam buangan itu dilaporkan telah bersedia untuk menghadapi pemilihan pada 24 Mac depan selepas negara itu ditadbir junta selama lima tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, puteri Thailand yang turut tercalon untuk merebut jawatan perdana menteri itu mengucapkan terima kasih kepada para penyokongnya dan memberitahu beliau mahu negara itu terus maju ke depan.

Puteri Ubolratana bagaimanapun enggan mengulas tentang pencalonan itu yang memecah tradisi diraja selain turut ditolak adiknya.Lewat Jumaat lalu, Raja Vajiralongkorn, 66, menyifatkan pencalonan adiknya itu 'tidak sesuai' dan bertentangan semangat Perlembagaan untuk keluarga diraja terlibat dalam dunia politik.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengawasi pemilihan sejak rampasan kuasa oleh tentera pada 2014 yang menggulingkan kerajaan pro-Thaksin memaklumkan ia akan mengeluarkan keputusan tentang isu itu pada esok. - Agensi