Lima beradik teruja dapat bantuan alat peranti

Hasyani (kiri) memperhatikan anaknya Siti Nur Bariah Sidek, 15, (tiga, kanan) mengulang kaji pelajaran kaedah PdPR secara atas talian sambil adik beradiknya lain di rumah mereka di Kampung Sri Kulim Melor pada Selasa.
Hasyani (kiri) memperhatikan anaknya Siti Nur Bariah Sidek, 15, (tiga, kanan) mengulang kaji pelajaran kaedah PdPR secara atas talian sambil adik beradiknya lain di rumah mereka di Kampung Sri Kulim Melor pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kisah kesukaran lima beradik di Kampung Sri Kulim, Melor di sini untuk belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi sumbangan alat peranti seperti komputer riba dan tablet.

Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kelvin Yeap berkata, NGO tersebut terpanggil untuk mengumpulkan dana dan peralatan bantuan diperlukan setelah membaca laporan media pada 24 Januari lalu.

"Memandangkan kelima-lima mereka adalah daripada golongan miskin, usaha memanjangkan kisah ini dilakukan menerusi beberapa kumpulan WhatsApp untuk membeli keperluan peralatan belajar dalam talian.

"Gerakan ini mendapat perhatian dan turut disertai beberapa NGO lain, akhirnya dapat menyediakan dua komputer riba, tiga tablet, mesin pencetak, wang tunai untuk membeli nombor telefon, beg dan buku rujukan terpakai, selain kemudahan internet yang sudah dipasang Unifi di bawah Telekom Malaysia (TM) selama setahun," katanya.

Beliau ditemui semasa program penyerahan sumbangan alat peranti itu oleh MCPF, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) negeri Kelantan dan Kelab Lions Kota Bharu di rumah keluarga itu di sini pada Selasa.

Ahad lalu, media melaporkan lima beradik tersebut terpaksa menggunakan satu telefon pintar ibunya, bagi mengikuti dan menyiapkan kerja sekolah berikutan kekangan kewangan, tambahan pula ibunya, Hasyani Mat Jusoh, 42, menghidap kanser usus tahap dua, manakala suaminya Sidek Abd Wahab, 46, hanyalah bekerja sebagai tukang rumah.

Kelvin yang juga Ahli Kehormat/Bersekutu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Negeri Kelantan dan Ahli Kelab Lions Kota Bharu berkata, keluarga itu adalah penerima pertama sumbangan telefon pintar dan komputer riba untuk memudahkan mereka mengikuti PdPR.

Sementara itu, Hasyani berkata, beliau bersyukur dan akan memastikan anak-anaknya memanfaatkan pemberian alat peranti itu untuk kemudahan mereka belajar PdPR dalam normal baharu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas kisah lima anaknya yang berusia enam hingga 15 tahun tersiar di media, pelbagai pihak menghubunginya dan menyuarakan hasrat untuk membantu meringankan beban keluarga tersebut. - Bernama