Lapor polis kalau lihat pelanggaran SOP: Ismail Sabri

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai digalak melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika mengetahui terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu adalah amat dialu-alukan terutama dalam membantu polis mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Maklumkan kepada polis jika melihat pelanggaran SOP. Polis misalnya ada laman web mereka untuk terima laporan dan sebagainya atau pergi sendiri ke Balai Polis dan laporkan,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan PKP di Wisma Pertahanan pada Selasa.

Terdahulu Ismail Sabri ditanya berhubung dakwaan masih ada individu yang mengadakan majlis keramaian dan tanpa rasa bersalah mengemas kini status dalam media sosial dengan memberi alasan hanya menjemput keluarga terdekat sedangkan aktiviti berkenaan dilarang ketika dalam tempoh PKP.

Sementara itu, ditanya mengenai pelanggaran SOP oleh individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyampaikan bantuan ketika PKP, beliau berkata, walaupun kerajaan sangat mengalu-alukan bantuan berkenaan, mereka tetap tertakluk kepada SOP yang digariskan.

Ismail Sabri berkata, pematuhan SOP ini bukan sahaja untuk melindungi masyarakat atau kumpulan yang dibantu, tetapi juga kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.

“Jadi kalau sudah laporkan kepada polis, kita serahkan kepada polis untuk ambil tindakan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: