'Kena Covid-19, siapa kata tak sakit?'

Hamzah Zainudin ketika sesi sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Hamzah Zainudin ketika sesi sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengakui beliau berada dalam keadaan sukar ketika dirawat sebagai pesakit Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mengalami sakit seluruh badan selepas disahkan positif Covid-19 pada 12 Januari lalu.

"Kalau sakit serang kepala macam saya kena, ALLAH, rasanya nak meletup," katanya pada sidang media di kementeriannya pada Selasa.

Beliau berkata, masyarakat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan diri dijangkiti virus itu.

"Saya nak maklumkan kepada semua pastikan kita kena patuh dengan penjarakan fizikal.

"Saya tak tahulah daripada mana (punca jangkitan) tapi bila dah kena sakit... sapa kata tak sakit? Semua badan macam kena demam urat," katanya.

Hamzah berkata, bacaan enzim hatinya meningkat sehingga 900 berkemungkinan terdapat bakteria.

"Apabila dah naik macam itu, doktor berhati-hati untuk memberi ubat dan demam pula merekodkan suhu 38.9 darjah celsius," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semasa dalam rawatan, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan beribadah.

"Saya berdoa pada ALLAH supaya penyakit ini lari daripada Malaysia. Macam mana nak lari dari sini? Kita kena lah memastikan diri dengar arahan serta tidak mengada-adakan cerita yang bukan-bukan untuk menakut-nakutkan orang," katanya.

Menurutnya, akibat dijangkiti wabak itu, beliau terpaksa menjalani fisioterapi bagi memulihkan kekuatan fungsi paru-paru.

"Fisioterapi ini perlu dilakukan dua kali seminggu,"katanya.

Beliau berkata, angka kes jangkitan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah benar berdasarkan kes yang dilaporkan.

"Bila kata bilangan itu direka, ia tidak betul. Takkan Menteri Dalam Negeri sengaja masuk hospital hampir sebulan," katanya.

Hamzah dirawat di PPUM selama 12 hari sebelum disahkan pulih sepenuhnya pada 24 Januari.

Sebelum itu, beliau turut menjalani kuarantin di rumah berikutan menjadi salah seorang kontak rapat pegawainya yang positif Covid-19.