UK menang dalam perang vaksin dengan EU

Isu rancangan sekatan eksport vaksin Covid-19 keluaran syarikat Pfizer di Belgium ke United Kingdom akhirnya berjaya diselesaikan. - Foto AFP
Isu rancangan sekatan eksport vaksin Covid-19 keluaran syarikat Pfizer di Belgium ke United Kingdom akhirnya berjaya diselesaikan. - Foto AFP
A
A
A

UNITED Kingdom (UK) secara rasminya keluar daripada menganggotai Kesatuan Eropah (EU) pada 1 Januari lalu setelah menyertai blok tersebut pada 1 Januari 1973.

Namun, tidak sampai 30 hari bergelar bekas anggota EU, UK telah terlibat dengan perang vaksin Covid-19 dengan blok ekonomi tersebut.

Perang itu bermula apabila firma pengeluar ubat-ubatan, AstraZeneca menyatakan bahawa ia akan mengurangkan bekalan untuk EU ekoran ia menghadapi masalah-masalah pengeluaran vaksin Covid-19.

UK pula sudah membuat sebanyak 40 juta tempahan dos vaksin daripada syarikat Pfizer milik Amerika Syarikat (AS) itu daripada kilang di Belgium iaitu salah satu anggota EU.

AstraZeneca pula ialah syarikat pengeluar ubat-ubatan milik Britain-Sweden yang beribu pejabat di England.

Vaksin AstraZeneca itu dibangunkan dengan kerjasama Universiti Oxford di Britain dan kira-kira 80 juta dos dijangka dikeluarkan untuk penduduk di EU bagi suku pertama tahun ini.

Bagaimanapun, menurut portal berita Fortune, syarikat AstraZeneca hanya boleh mengeluarkan hanya 31 peratus dos vaksin berkenaan untuk 27 negara anggota EU.

Pada November tahun lalu, AstraZeneca Perancis berkata, ia hanya mengenakan bayaran sebanyak AS$3 (RM12.13) untuk setiap satu dos vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, EU bersetuju untuk membeli 400 juta dos vaksin AstraZeneca.

Justeru, portal berita Evening Standard melaporkan pihak EU merancang untuk menghalang pengeksportan vaksin-vaksin yang dikeluarkan oleh kilang-kilang di blok tersebut bagi memenuhi kegunaan 27 anggotanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri UK, Boris Johnson bertindak menghubungi Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen bagi memintanya menggugurkan rancangan untuk menyekat eksport vaksin Covid-19 ke UK.

Boris Johnson
Boris Johnson

Menurut MailOnline pada 30 Januari lalu, Johnson menghubungi Leyen menerusi dua panggilan telefon pada lewat malam dengan memberi amaran tentang kesan sekatan vaksin Pfizer itu terhadap warga UK.

Melalui panggilan itu, beliau meminta Leyen membatalkan cadangan melarang 3.5 juta dos vaksin Pfizer dieksport daripada sebuah kilang di Belgium ke UK.

Johnson juga meminta Leyen menggugurkan pelaksanaan sekatan ketat yang bertujuan menghalang vaksin itu tiba ke UK dengan menyeberangi sempadan dari Rebublik Ireland ke Ireland Utara.

Ursula von der Leyen
Ursula von der Leyen

Beliau juga menggunakan alasan dengan memberitahu Presiden Suruhanjaya Eropah itu bahawa tindakan sekatan tersebut akan menyebabkan berjuta-juta pesara British akan meninggal dunia kerana tidak menerima suntikan kedua vaksin itu.

Menteri Kabinet UK, Michael Gove pula dilaporkan sebagai berkata, EU kemudian mengaku kesilapannya kerana melakukan sekatan tersebut.

Ketika UK berjaya menghalang dalam usahanya meminta EU menggugurkan sekatan itu, sehingga Ahad lalu sebanyak 3.82 juta kes Covid-19 dengan 106,000 kematian telah dilaporkan di UK

Dalam pada itu, ketika perbalahan antara EU dengan UK selesai, firma AstraZeneca dilaporkan menukar keputusan apabila ia akan menambahkan lagi sembilan juta dos vaksin Covid-19 dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Ia menjadikan jumlah vaksin yang ditawarkan syarikat itu ialah 40 juta dos dalam suku pertama berbanding kenyataan AstraZeneca pada awal bulan ini apabila mengumumkan ia akan mengurangkan bekalan kepada EU.

Pengumuman itu diberitahu oleh Leyen menerusi Twitternya pada Ahad lalu dan menyatakan syarikat berkenaan akan melakukan penghantaran vaksin seminggu lebih awal.

Beliau juga menyatakan AstaZeneca akan meningkatkan pengeluaran vaksin tersebut di EU. - Agensi