Vaksin Covid-19 tiba di Malaysia pada 26 Februari

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Bekalan vaksin Covid-19 fasa pertama yang dibeli kerajaan daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba di Malaysia pada 26 Februari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebaik tiba di pintu masuk negara, vaksin berkenaan akan diagihkan kepada negeri-negeri sebelum ia disuntik kepada penerima.

“Bila sampai di pintu masuk antarabangsa, dari situ kita akan agihkan vaksin, mungkin dalam tempoh seminggu dua,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman pada Isnin.

Pada 24 November lalu, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Dua hari sebelum itu, Malaysia memeterai perjanjian dengan fasiliti Covax untuk memperoleh bekalan vaksin tersebut bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus lagi rakyat negara ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima lebih 3,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan dalam Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19.

Sambutan menggalakkan itu katanya menyebabkan KKM terpaksa membuat pemilihan dan tapisan peserta berdasarkan kelayakan tertentu.

“Kita mahu 3,000 sukarelawan tapi yang mohon ramai, jadi kita akan pilih. Setakat ini lebih 1,000 sukarelawan sudah disuntik dalam kajian klinikal ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: