X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu bertindak lebih proaktif tangani pandemik Covid-19

Ahmad Zahid Hamidi
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kerajaan bertindak lebih proaktif bagi mengurangkan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Beliau turut menggesa kerajaan perketatkan PKP dengan memberi bantuan yang sewajarnya kepada rakyat dan golongan peniaga supaya mereka dapat bertahan.

"Kita tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai salah sebuah negara yang lambat berjaya dalam menangani pandemik ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan terlalu bergantung kepada penggunaan vaksin yang masih di peringkat percubaan klinikal sedangkan kes ketika ini terus meningkat.

Menurutnya, beberapa pakar kesihatan Malaysia dan ahli akademik telah memberi pandangan mengenai fungsi vaksin Covid-19.

“Mereka membayangkan vaksin bukanlah penyelesaian mutlak kepada usaha menamatkan sepenuhnya pandemik Covid-19. Mereka kata vaksin itu berkesan mengelak seseorang mengalami kesan teruk jangkitan itu, namun itu tidak bermakna seseorang yang telah divaksin tidak boleh menjadi pembawa virus itu.

“Mereka kata virus Covid-19 sesuatu yang baru dan kompleks. Masih memerlukan kajian serta pengumpulan data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan. Mereka kata vaksin Covid-19 tidak bersifat menyembuh, sebaliknya bertujuan mencegah dan mengawal penyakit daripada menjadi lebih kritikal,” katanya.

Menurutnya, vaksin tersebut bukan bersifat magik dan ia mengambil tempoh masa tertentu sebelum dapat mengawal sepenuhnya penularan wabak berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, terdapat dua perkembangan yang mendukacitakan mengenai situasi pandemik di negara ini.

“Pertama sudah dua hari berturut-turut hampir 6,000 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan. Kedua, seramai 48 petugas kesihatan Hospital Sultanah Nur Zahirah disahkan dijangkiti Covid-19.

“Apa yang boleh kita tafsirkan daripada dua perkembangan ini? Pertama kes terus mencanak. Kedua barisan hadapan kian tertekan dan kepenatan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!