X

Kindly register in order to view this article
!

PdPR: Empat beradik berkongsi satu telefon pintar

Mohamed Irfan Bahari bersama adik-adik dan sepupunya menyiapkan PdPR di rumah mereka di Kampung Serting Ilir, Jempol.
A
A

JEMPOL - Empat beradik di Kampung Serting Ilir, di sini berharap pandemik Covid-19 segera berakhir dan sesi persekolahan dapat dijalankan seperti sebelumnya selepas mengakui sukar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Empat beradik itu Mohamed Irfan Bahari, 19, Nur Irfa Aina, 16, Nur Irfa Aini, 15, dan Noor Ainin Jastina Mokhtaruddin, 13, ketika ini terpaksa berkongsi satu telefon pintar untuk menyiapkan PdPR sejak 20 Januari lalu.

Menurut Mohamed Irfan Bahari, ibunya, Arfah Baharin, 47, merupakan seorang ibu tunggal selepas kematian ayahnya sembilan tahun lalu akibat penyakit asma.

"Telefon pintar hanya ada satu, jadi masing-masing akan segera menyalin kerja sekolah sebelum bergilir-gilir menggunakannya.

"Mama akan maklumkan kepada cikgu bahawa kami agak lewat sedikit menghantar kerja sekolah kerana kekangan peralatan untuk PdPR dan cikgu memahami keadaan kami," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Ahad.

Mengulas lanjut, mereka begitu berharap pandemik ini segera berakhir kerana lebih 'puas' belajar secara bersemuka berbanding sekarang.

"Kami akur dengan keadaan negara sekarang dan ramai juga sudah merindui suasana persekolahan seperti dulu-dulu," katanya.

Katanya, selain adik-adiknya, dua lagi sepupunya iaitu Yasmin Zafirah, 10, dan Muhamad Qayyim Razin Amri, lapan tahun turut berkongsi menggunakan telefon yang sama berikutan ibu dan ayah mereka bekerja.

"Kami saling bantu-membantu supaya tiada yang tercicir melengkapkan PdPR," katanya.

Sementara itu, Arfah berkata, dia tidak mampu menyediakan lebih telefon pintar susulan kekangan kehidupan yang dialaminya selain hanya bekerja sebagai pembantu kantin dengan menerima gaji harian sebanyak RM35.

"Jika saya cuti bekerja, mereka bolehlah menggunakan telefon saya, jadi ada dua telefon. Jika sebaliknya mereka terpaksa berkongsi satu telefon.

"Saya turut maklumkan pada guru, jika anak lambat menghantar tugasan yang diberikan adalah kerana mereka terpaksa menunggu giliran menggunakan telefon.

"Walau susah, saya acap kali pesan kepada anak-anak, kerja sekolah tetap perlu disiapkan. Tidak boleh beri alasan sukar atau apa sekalipun. Ini kerana dengan pelajaranlah dapat mengubah masa hadapan keluarga," katanya.

Arfah yang mempunyai lima orang anak memberitahu, kesemua anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir, bagaimana pun seorang daripadanya iaitu Noor Irfa Ain, 18, tinggal di asrama sekolah sama kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jelas Arfah, dia juga merupakan penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Baitulmal sebanyak RM250.

"Duit yang ada itu digunakan untuk keperluan harian dan saya bersyukur kerana anak-anak memahami keadaan ibunya selain tidak pernah merungut," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!