X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Pengusaha bot C rugi ratusan ribu ringgit

Sang Chai (empat dari kiri) bersama pemilik-pemilik bot zon C memegang kain rentang bagi memohon APMM hentikan tangkapan terhadap kru asing di Pejabat Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah pada Ahad.
A
A

KUALA KEDAH - Lebih 200 pengusaha bot ikan zon C di Kuala Kedah menanggung kerugian ratusan ribu ringgit berikutan tidak dapat beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Pengerusi Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, Toh Sang Chai berkata, keadaan itu berpunca apabila pekerja asing yang pulang ke negara asal tidak dapat balik semula untuk bekerja berikutan penutupan sempadan.

Beliau berkata, pihaknya sukar mendapatkan pekerja tempatan kerana bot zon C akan berada di tengah laut untuk satu tempoh masa sehingga lima atau enam hari.

"Keadaan ini menjejaskan pendapatan kami kerana tidak ada pekerja tempatan yang sanggup mengambil alih pekerjaan awak-awak warga asing berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabat pertubuhan tersebut di sini pada Ahad.

Menurutnya, lebih memburukkan keadaan ketika ini apabila baki awak-awak dan tekong yang masih bekerja di laut ketika ini ditahan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kerana gagal memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Kami tidak dapat memperbaharui PLKS pekerja dalam tempoh PKP kerana kebanyakan pejabat berkaitan tidak beroperasi seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, selain terpaksa menanggung kerugian selepas hilang pendapatan, mereka juga bimbang bot akan rosak kerana terlalu lama tersadai.

Jelasnya, pengambilan awak-awak dan tekong baharu juga sukar dilakukan pada waktu ini.

"Jadi saya merayu APMM membuat pertimbangan memberi masa kepada kami untuk melakukan proses dokumentasi.

"Hasil pendaratan ikan juga semakin berkurangan menyebabkan harga ikan naik.

"Jika keadaan ini berlarutan, ia boleh memberi kesan kepada sumber protein dan keselamatan makanan negara," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!