Tiada laporan berlaku letupan di Sabah

Hazani Ghazali
Hazani Ghazali
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah sedang melakukan siasatan berhubung bunyi letupan dan gegaran yang dirasai penduduk di sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan pada Ahad.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, tiada laporan diterima setakat ini berhubung sebarang kejadian letupan di beberapa daerah di Pantai Barat ketika ini.

"Beberapa elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dikerahkan menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan terlibat untuk melakukan pemantauan.

"Setakat ini, tiada sebarang insiden sama ada berkaitan letupan atau gegaran dilaporkan berlaku di mana-mana kawasan negeri ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Hazani turut berkata, siasatan turut dilakukan dengan menghubungi beberapa lokasi yang berkaitan namun tiada apa-apa insiden dilaporkan setakat ini.

"Polis juga sudah menjalankan siasatan dengan menghubungi beberapa lokasi sasaran penting antaranya syarikat seperti Asian Supply Base, Petronas Chemical Methanol dan Shell Hibiscus namun tiada apa-apa insiden dilaporkan.

"Namun, ada laporan yang mendakwa bunyi letupan kuat yang didengari di beberapa lokasi Pantai Barat sebenarnya berlaku di kawasan Muara Teluk Brunei," katanya.

Sehubungan itu, Hazani berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan semua kawasan berada dalam keadaan selamat.

Artikel Berkaitan:

Hazani dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak tularkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh turut menafikan dakwaan orang ramai berhubung punca bunyi letupan adalah dari saluran paip di Bukit Beriwan, Lawas, Sarawak.

"Dakwaan itu palsu," katanya ringkas.

Terdahulu, Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim turut maklum dengan pelbagai maklumat yang diterima pihaknya namun setakat ini tiada sebarang kejadian yang membabitkan di bawah Jabatan Meteorologi berlaku di negeri ini.