'Pendedahan Tommy bukti Tun M khianati rakan PH'

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

SHAH ALAM – Pendedahan dibuat oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ adalah bukti jelas bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad mengkhianati rakannya dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tidak dapat dibayangkan jika ketiga-tiganya masih lagi sanggup bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu setelah beliau dibuktikan telah mengkhianati pemimpin-pemimpin terbabit.

“Buku Tommy ini adalah bukti nyata bagaimana Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tanggungjawab baginda dalam tempoh peralihan kuasa ini dengan seadil-adilnya tanpa cuba memihak kepada mana-mana pihak seperti didakwa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Kamarul turut menyenaraikan antara yang menarik perhatiannya menerusi pendedahan dalam buku itu adalah Yang di-Pertuan Agong merayu kepada Dr Mahathir agar kekal menjadi Perdana Menteri sebaliknya Ahli Parlimen Langkawi itu bertegas mahu meletakkan jawatan menyebabkan baginda tiada pilihan lain selain menerima peletakan jawatan tersebut.

“Dr Mahathir tegas bahawa Kabinet mesti dibubar ekoran peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan ini terpaksa diterima oleh Yang di-Pertuan Agong menyebabkan sejumlah 50 menteri dan timbalan menteri hilang jawatan.

“Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mahu melantik Dr Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Interim tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak dapat berbuat demikian kerana Dr Mahathir mahukan beliau sendiri dilantik sebagai Perdana Menteri Interim tersebut,” katanya.

Kamarul pada masa sama turut menyenaraikan lima perkara lain yang paling menarik ialah Dr Mahathir menyebut pada Tommy dalam pertemuan pada 25 Februari tahun lalu bahawa beliau mempunyai sokongan sebulat suara daripada 222 ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri dan akan mempunyai kuasa penuh dalam kerajaan perpaduannya.

“Ketiga, jawatan parti tidak akan diberi pertimbangan oleh Dr Mahathir untuk lantikan Kabinet kerajaan perpaduan dan Anwar serta Guan Eng tidak akan menjadi sebahagian daripada Kabinet kerajaan perpaduan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, Dr Mahathir terpaksa memecat Tommy sebagai Peguam Negara kerana ini adalah syarat UMNO dan Pas,” katanya.