Pertimbang tujuh petunjuk sebelum tamatkan PKP, darurat

KKM perlu mempertimbang tujuh petunjuk atau satu set statistik lengkap sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah darurat. - Foto Bernama
KKM perlu mempertimbang tujuh petunjuk atau satu set statistik lengkap sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah darurat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mempertimbang tujuh petunjuk atau satu set statistik lengkap sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah darurat.

Pakar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng berkata, ini kerana penggunaan satu statistik iaitu kadar kes harian positif dan kebolehjangkitan atau R naught (RO) yang digunakan ketika ini mungkin tidak menyeluruh dalam menentukan situasi sebenar Covid-19 di negara ini.

Justeru katanya, tujuh petunjuk itu adalah jumlah ujian harian, bilangan ujian positif daripada jumlah ujian dan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU).

Selain itu, kadar kematian, kadar jangkitan membabitkan petugas di sektor perkhidmatan, kadar kes harian positif dan kebolehjangkitan atau R naught (RO).

"Penggunaan satu statistik sahaja untuk menentukan tahap keseriusan pandemik tidak cukup menyeluruh dan statistik tersebut mungkin terlalu bergantung pada faktor-faktor lain.

"Jumlah kes harian amat bergantung pada jumlah ujian saringan yang dijalankan. Jika jumlah ujian saringan berkurangan, maka besar kemungkinan jumlah kes harian akan berkurangan juga.

"Jika jumlah ujian saringan dipertingkatkan, maka besar kemungkinan jumlah kes harian akan meningkat juga.

"Oleh itu, kita memerlukan satu set statistik yang lebih menyeluruh dan tidak bergantung pada faktor-faktor yang boleh menyebabkan ralat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dengan adanya set statistik tersebut ia dilihat dapat membantu agensi berkaitan menilai tahap pandemik dengan lebih tepat.

Selain itu katanya, dengan cara itu juga ia lebih munasabah dan lebih menyeluruh sekali gus membolehkan penilaian lebih jelas dalam membuat penentuan sama ada bila PKP atau darurat boleh ditamatkan.