Krisis integriti penjawat awam

Di Malaysia, walaupun pelbagai usaha telah digerakkan pihak-pihak berkenaan, namun masih ramai pemimpin yang berkuasa tergoda dan terjerat dalam krisis integriti.
Di Malaysia, walaupun pelbagai usaha telah digerakkan pihak-pihak berkenaan, namun masih ramai pemimpin yang berkuasa tergoda dan terjerat dalam krisis integriti.
A
A
A

DI mana ada kuasa, pasti di situ jugalah akan ada rasuah. Pemimpin-pemimpin, ketua-ketua kerajaan dan penjawat awam merupakan antara kelompok individu yang paling berkait rapat dengan kuasa dan rasuah.

Di Malaysia, walaupun pelbagai usaha telah digerakkan pihak-pihak berkenaan, namun masih ramai pemimpin yang berkuasa tergoda dan terjerat dalam krisis integriti.

Hal ini terbukti apabila laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang dikeluarkan Transparency International (TI) pada Khamis mendedahkan, persepsi rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini kembali membimbangkan apabila kedudukan Malaysia menjunam ke tangga 57 berbanding tangga 51 pada tahun 2019.

Tidak keterlaluan jika dikatakan penurunan enam anak tangga itu merupakan signal bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dalam usaha memerangi rasuah.

Untuk rekod, Indeks CPI adalah mengenai rasuah di sektor awam bagi setiap negara dan respondennya terdiri daripada ahli perniagaan, penganalisis kewangan, pakar dalam pelbagai bidang dan pelabur asing.

Bercakap tentang isu rasuah di sektor awam, survei Global Corruption Barometer 2020 untuk Malaysia menunjukkan bahawa 71 peratus rakyat berpendapat rasuah dalam pentadbiran kerajaan adalah satu masalah besar dan secara langsung penjawat awam dikaitkan dalam isu ini.

Survei turut mendapati antara institusi yang paling korup di Malaysia ialah ahli parlimen sebanyak 36 peratus, polis sebanyak 30 peratus, dan pegawai kerajaan 28 peratus.

Bagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tugas menangani rasuah di sektor awam perlu bermula di peringkat pegawai atasan setiap organisasi kerajaan itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Setiap ketua sama ada jabatan atau organisasi kerajaan harus memastikan tiada orang mereka terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Musa yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara (KPN) kelapan dari tahun 2006 hingga tahun 2010, beliau tidak sesekali berkompromi dalam isu memerangi rasuah dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia.

“Sewaktu saya menjadi KPN, saya mewujudkan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) bertujuan menerapkan aspek kerohanian dalam kalangan anggota.

“Dengan menerapkan kerohanian yang baik dapat menghindarkan diri daripada mendekati rasuah dan untuk anggota yang bukan beragama Islam kita sediakan juga sesi kaunseling,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menjalinkan hubungan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau tugas anggota polis sekiranya terdapat aduan berkaitan rasuah.

“Pada masa sama, anggota polis yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan displin dan dihantar untuk latihan semula,” katanya.

Tegasnya, pendekatan mengenakan tindakan displin merupakan satu bentuk pencegahan bagi mengelakkan anggota terjebak dalam aktiviti tidak bermoral seperi rasuah.

“Saya percaya, isu rasuah dalam kalangan penjawat awam masih boleh dibanteras terutamanya dengan penglibatan sepenuhnya pegawai dan ketua di peringkat tertinggi bagi memastikan anggota masing-masing menjalankan tugas dengan telus,” katanya.

Sementara itu, mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menegaskan, sepanjang mengetuai agensi tersebut, tiada istilah bertolak ansur sekiranya didapati berlaku rasuah dalam kalangan penjawat SPRM.

“Saya amat serius dalam isu rasuah, sekiranya ada pegawai atau anggota SPRM yang terlibat memang tidak akan diberi peluang. Mereka akan dikenakan tindakan mahkamah dan sekiranya tidak cukup bukti tetapi memang wujud unsur rasuah mereka akan dikenakan tindakan tatatertib yang boleh membawa kepada tindakan buang kerja.

“Sekiranya penjawat SPRM sendiri terlibat rasuah bagaimana mahu mengekang ia daripada berlaku di peringkat masyarakat. Mereka memang tidak layak menjadi penjawat SPRM,” katanya.

Kata Mohd Shukri, negara masih mempunyai peluang dan ruang untuk membanteras rasuah sekiranya kerajaan memberi keutamaan kepada aspek integriti.

“Lihat negara yang menduduki tangga teratas Indeks CPI 2020 seperti Denmark, setiap peringkat masyarakat termasuk pemimpinnya tidak memandang ringan isu rasuah dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi dalam melaksanakan tugas.

“Integriti merupakan pelaburan terbaik untuk negara,” katanya.