Pelarian Rohingya: Maritim pantau bot dari Indonesia

Sebuah bot hanyut yang membawa sekumpulan etnik Rohingya ditahan di Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlton, Langkawi pada 8.45 pagi, 5 April lalu (gambar fail).
Sebuah bot hanyut yang membawa sekumpulan etnik Rohingya ditahan di Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlton, Langkawi pada 8.45 pagi, 5 April lalu (gambar fail).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) memberi tumpuan kepada pemantauan semua jenis bot yang melalui perairan negara dari Indonesia bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ke Malaysia.

Ketua Pengarah Maritim Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin ke dalam negara disyaki menggunakan bot nelayan, bot kecil dan bot perdagangan tukar barang.

Beliau berkata antara taktik yang digunakan sindiket dari Indonesia dan Malaysia untuk membawa masuk pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ialah memuatkan mereka dalam bot-bot kecil di kawasan sempadan sebelum mereka dibawa ke daratan.

“Pelarian Rohingya sering menjadikan negara ini sebagai destinasi akhir berdasarkan hasil siasatan kes penyeludupan pendatang tanpa izin di utara tanah air pada awal tahun lepas.

Kita tahu bahawa mereka akan meneruskan perjalanan ke Malaysia kerana keluarga mereka telah berada di sini dan akan menggunakan pelbagai cara serta helah untuk sampai ke negara ini,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Mohd Zubil berkata, semua pintu masuk dan lorong tikus di kawasan persempadanan negara dikawal ketat menyebabkan sindiket pendatang tanpa izin Rohingya ini telah mengubah destinasi mereka ke Aceh, Indonesia dan menjadikan Aceh sebagai pusat transit.

Katanya, Maritim sentiasa bersedia bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dengan menempatkan aset termasuk sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) di lokasi strategik.

ARTIKEL BERKAITAN: Ratusan etnik Rohingya di Indonesia lari ke Malaysia

Beliau mengulas laporan mengenai ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Maritim sentiasa bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta semua aset di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) menerusi Op Benteng untuk mengawal ketat kemasukan Rohingya dan pendatang tanpa izin dari negara jiran yang lain. - Bernama