Ops Catut 8.0 pantau kelengkapan elektronik, komunikasi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Catut 8.0 bagi memantau harga jualan komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, sejak Isnin lepas (25 Januari) sehingga semalam, bahagian penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan terhadap 130 premis yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi.

Katanya, hasil pemantauan itu, 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan tersebut bagi suatu tempoh untuk mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

"Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan dan sekiranya gagal mematuhi notis tersebut, ia menjadi kesalahan tindakan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP 2011.

“Kementerian mengambil maklum tentang pelajar sekolah yang terpaksa meneruskan pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keperluan terhadap perkakasan komputer, mesin cetak dan aksesorinya serta kelengkapan komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pemantauan itu dilaksanakan selama dua minggu mulai 25 Januari dan peniaga yang dikesan melakukan aktiviti mencatut akan diperiksa di bawah perundangan pencatutan.

“Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi Seksyen 21(5) AKHAP 2011 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.

“KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan menyimpan setiap resit pembelian bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Selain itu, pengguna digalakkan membanding harga dan mengetahui ciri-ciri pakej yang hendak dibeli terutama keperluan pembelajaran dalam talian serta tawaran pakej daripada penjual sebelum membuat keputusan membelinya. - Bernama