KPDNHEP keluar 10 notis kepada peniaga peranti elektronik

Penguat kuasa KPDNHEP bertanya sesuatu kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik ketika melakukan pemeriksaan dalam Ops Catut 8.0. - Foto KPDNHEP
Penguat kuasa KPDNHEP bertanya sesuatu kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik ketika melakukan pemeriksaan dalam Ops Catut 8.0. - Foto KPDNHEP
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengeluarkan 10 notis kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik di negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, notis berkenaan diberikan kepada peniaga di Kuala Terengganu, Kemaman, Besut dan Dungun melalui Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan agensi itu bermula 26 Januari hingga 8 Februari.

“Notis yang dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 mewajibkan peniaga memberi maklum balas dan maklumat perincian harga jualan dan kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Peniaga diberi tempoh dua hari untuk membekalkan kesemua maklumat tersebut untuk kita siasat sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.

Menurutnya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan selama 14 hari bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Saharuddin berkata, pemeriksaan di bawah Ops Catut 8.0 melibatkan peniaga yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak, tablet dan telefon bimbit di seluruh negeri.

Sehubungan itu beliau mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dalam situasi sekarang dengan menaikkan harga barang untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Peniaga ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000. Kita mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk salurkan sebarang maklumat atau aduan melalui saluran disediakan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.