X

Kindly register in order to view this article
!

PH ambil tindakan undang-undang, dakwa penggantungan Sidang Parlimen tidak sah

Kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH pada Khamis
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan penggantungan Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan bersama berkata, tindakan undang-undang dibuat itu bagaimanapun bukan bertujuan untuk mencabar proklamasi darurat yang diisytihar pada Januari lalu.

Sebaliknya, kata mereka, permohonan itu bagi menentukan bahawa kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat tersebut yang membenarkan penggantungan Sidang Parlimen dan DUN adalah tidak sah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri bersama Kabinet telah bertindak secara tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan apabila menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Sidang Parlimen dan DUN.

"Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan wakil rakyat di seluruh negara memerlukan persidangan pada waktu kritikal ini bagi mengumpulkan suara rakyat yang diwakili, membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak Covid-19 serta urusan lain membabitkan pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat.

"PH mengambil tindakan mahkamah ini atas komitmen dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH pada Khamis.

Kenyataan bersama itu diwakili Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook.

Pada Rabu, PH menghantar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka iaitu Datuk Seri Salahuddin Ayub (Simpang Jeram), Datuk Johari Abdul (Gurun) dan Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi) bagi memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Khas Bebas yang akan dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, pakar kesihatan serta yang berkaitan bagi mengendali perjalanan darurat negara.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong menyembah maklum keputusan mesyuarat Jemaah Menteri mengenai cadangan pelaksanaan darurat sebagai langkah proaktif untuk melandaikan kes positif Covid-19 harian yang mencecah empat angka sejak Disember lalu.

Darurat itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang bentuk rampasan kuasa tentera atau pelaksanaan perintah berkurung, malah urusan pentadbiran kerajaan Persekutuan dan Negeri terus berfungsi seperti biasa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!