Campak bayi: Remaja dibebaskan dengan jaminan RM90,000

Remaja yang berdepan dengan pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baharu dilahirkannya dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM90,000 pada Rabu. -Gambar hiasan
Remaja yang berdepan dengan pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baharu dilahirkannya dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM90,000 pada Rabu. -Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Remaja yang berdepan dengan pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baharu dilahirkannya dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM90,000 pada Rabu.

Peguam RSN Rayer ketika dihubungi berkata anak guamnya M. Santhiea, 19, telah dibebaskan dengan jaminan di mahkamah hari ini kira-kira 1.45 tengah hari tadi.

Sebelum ini Santhiea ditahan di Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Perlis.

Rayer berkata pada 15 Januari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amirudin Abd Rahman telah membenarkan permohonan tertuduh untuk dibebaskan dengan jaminan RM90,000 dengan dua orang penjamin serta memerintahkan Santhiea selaku pemohon dalam kes itu untuk melapor diri di Balai Polis Air Itam pada setiap Sabtu.

Peguam itu berkata, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan gadis itu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan pemohon tidak dibenarkan untuk memohon sebarang dokumen perjalanan termasuk pasport dan dokumen perjalanan lain.

Selain itu tertuduh turut dikehendaki berada di kediaman dari jam 7 malam hingga 7 pagi dan tidak dibenarkan meninggalkan negeri Pulau Pinang tanpa kebenaran mahkamah.

Pada 16 Julai 2020, Santhiea dituduh membunuh bayi perempuan yang baharu dilahirkan di rumah keluarganya di Air Itam, di sini. Pertuduhan terhadapnya dilakukan di Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang berikutan remaja itu masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.

Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bayinya di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, di sini, pada jam 8.25 pagi, 10 Julai 2020 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: