Pengawal keselamatan menyamar polis ditahan

Uniform polis yang dirampas daripada suspek yang menyamar sebagai anggota polis.
Uniform polis yang dirampas daripada suspek yang menyamar sebagai anggota polis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki tempatan yang juga pengawal keselamatan berusia 60 tahun ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukthar berkata, sebelum penahanan itu, lelaki terbabit datang ke Pejabat Pertanyaan Balai Polis Iskandar Puteri kira-kira jam 12.10 tengah hari pada Selasa.

"Lelaki itu memakai baju operasi polis dan berjaket memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Balai Polis Sentral, Johor.

"Dia juga telah mengambil gambar ruang kaunter aduan Balai Polis dan selang beberapa minit beredar daripada Balai Polis menaiki kereta jenis Proton Preve warna Perak," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Dzulkhairi bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis ( IPD) Iskandar Puteri telah menahan lelaki tersebut di Kampung Ulu Pulai, Pekan Nenas, Pontian kira- kira jam 6 petang pada hari yang sama.

"Polis turut merampas beberapa barangan termasuk dua helai vest polis, sepasang baju operasi dan uniform bush jacket serta pangkat penolong penguasa polis, dua pasang kasut hitam dan sebuah topi pegawai kanan polis peak cap bersama beg.

"Turut dirampas dua buah telefon bimbit, sebuah kereta jenis Proton Preve warna Perak yang didaftar atas nama suspek," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Dzulkhairi, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif.

Artikel Berkaitan:

"Suspek akan dipohon reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 170 KK dan Seksyen 89 Akta Polis 1967,"katanya.

Dzulkhairi turut menasihatkan kepada semua peniaga aksesori polis supaya mematuhi prosedur yang telah ditetapkan dan mereka perlu menyemak kad anggota polis terlebih dahulu sebelum urusan jualan dilakukan bagi memastikan aksesori polis tidak disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.