Program Selangor Kerjaya tawar 10,000 peluang pekerjaan

Amirudin berucap menerusi rakam video yang dimuat naik di laman Facebook Menteri Besar Selangor Incorporated, pada Selasa.
Amirudin berucap menerusi rakam video yang dimuat naik di laman Facebook Menteri Besar Selangor Incorporated, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Selangor Kerjaya menyediakan sehingga 10,000 peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran tenaga melalui kaedah 'profiling', 'upskilling' dan 'job placement' dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu merupakan inisiatif diambil kerajaan negeri bagi pengurusan bakat dan tenaga kerja dalam menangani wabak Covid-19.

Beliau berkata, untuk tahun ini, kerajaan negeri mensasarkan 2,000 peluang pekerjaan yang akan diisi oleh graduan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar lepasan sekolah menengah termasuk latihan vokasional dan tenaga kerja diberhentikan.

"Tenaga kerja yang berjaya akan melalui program latihan bersama majikan selama setahun bagi mengasah bakat dan kemahiran.

"Mereka akan menjalani proses monitoring bagi memastikan tenaga kerja tersebut menyesuaikan diri dengan baik," katanya pada majlis pelancaran program Selangor Kerjaya yang berlangsung secara atas talian di laman Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bagi melicinkan pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan negeri turut membangunkan sebuah laman web dikenali sebagai Selangor Kerjaya yang memaparkan pelbagai maklumat untuk diterokai pengguna.

Beliau berkata, Selangor Kerjaya juga berperanan untuk berinteraksi dengan masyarakat awam secara terus di laman media sosial.

"Pendaftaran dibuka kepada tenaga kerja yang menepati permintaan penawaran pekerjaan terbabit di samping dapat memanfaatkan program latihan disediakan untuk membantu tenaga kerja terpilih bagi membina kemahiran mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Selangor turut maju setapak ke hadapan apabila mengambil pendekatan untuk terlibat lebih rapat dalam industri aeroangkasa.

Katanya, kerajaan negeri berhasrat untuk menarik minat industri bernilai tinggi bagi melabur di Selangor yang akan turut menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

"Selangor akan membangunkan pengkalan data tenaga kerja bersepadu termasuk kerangka kemahiran kerjaya di dalam industri aeroangkasa agar dapat menyediakan latihan kemahiran yang diperlukan untuk menyokong industri bernilai tinggi dalam menghadapi cabaran pekerjaan di Abad ke 21," katanya.