Kerajaan cadang jadikan MYHackathon sebagai acara berulang

Khairy
Khairy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang menjadikan MYHackathon, sebuah program mencari penyelesaian permasalahan perkhidmatan secara digital antara pesertanya, bagi membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam utama kepada rakyat, sebagai acara berulang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, program yang dilancarkan pada Oktober lepas, bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan di dalam perkhidmatan kerajaan dan mencari jalan penyelesaiannya daripada perspektif orang ramai.

“Ketika mula memperkenalkan program ini, kita berbincang secara mendalam...kalau itu (masalah) umum, kita tidak dapat kenal pasti mana kelemahannya.

"Setelah kita selidiki... inovasi perlu (digunakan) untuk menyelesaikan masalah dan kita perlu mengenal pasti punca masalah tersebut terlebih dahulu," katanya semasa acara Finale & Showcase MYHackathon 2020 yang disiarkan secara dalam talian pada Selasa.

Sebanyak 36 penyelesaian digital dan pemenang dipilih untuk program sulung ini yang akan digilap untuk memimpin proses pendigitan perkhidmatan awam.

Khairy berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia lebih setahun lalu telah menjejaskan pelbagai sektor dan industri negara dan ini sekali gus mendorong kerajaan mengambil pendekatan secara inklusif dan menyeluruh dalam usaha menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

"Pihak kementerian melihat bahawa pendekatan yang paling relevan dan berkesan untuk memastikan perkara ini dapat dicapai adalah melalui penggunaan teknologi dan penerapan digitalisasi dalam perkhidmatan awam.

"Persoalannya, bagaimana kita dapat mengumpul sebanyak mungkin idea-idea yang bernas dengan kadar segera? Kita memerlukan kesemua bakat ‘talent and brain bank’ (buah fikiran orang cerdik pandai) kerana tiada siapa yang lebih memahami permasalahan rakyat, lebih daripada rakyat sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, melalui MYHackathon 2020 kerajaan dapat menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan usahawan dalam bidang teknologi negara, terutamanya dalam kalangan belia, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing.

Ia juga selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021- 2030 dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) yang bertujuan memperhebatkan usaha pembangunan dan penggunaan teknologi tempatan dalam usaha mentransformasikan negara daripada pengguna teknologi kepada pembangunan teknologi. - Bernama