Kerajaan cadang perkenal nombor plat khas kenderaan EV

Loke Siew Fook (enam dari kiri) melancarkan Pusat Khidmat 4S di rahang di sini
Loke Siew Fook (enam dari kiri) melancarkan Pusat Khidmat 4S di rahang di sini
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang memperkenalkan nombor plat khas untuk kenderaan elektrik (EV).

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan itu bertujuan untuk membezakan kenderaan EV dengan kenderaan biasa.

"Indeks yang kita gunakan bermula dengan EV kerana EV tiada dalam sistem nombor pendaftaran kenderaan kita.

"Ia penting kerana kenderaan EV ini perlu dikenal pasti berbanding kenderaan lain," katanya ketika ditemui di pelancaran Pusat Khidmat 4S (Jualan, Alat Servis, Servis dan Cas) di Rahang di sini pada Sabtu.

Ujarnya, ini kerana dari aspek keselamatan jika berlaku kemalangan, cara pengendalian EV adalah berbeza dengan kenderaan biasa lain.

Umpamanya kata Anthony, jika berlaku kebakaran bomba perlu menggunakan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

"Kalau terbakar tak boleh sembur air saja. Tapi bila bomba sampai di lokasi, dia tak tahu itu EV atau kenderaan biasa kerana jika dilihat dari luar ia tiada beza dengan lain.

"Jadi kita nak perkenalkan nombor plat ini supaya dapat dibezakan dengan kenderaan lain dan ini juga cara kita nak bagi sokongan kepada EV,"katanya.

Dalam pada itu katanya, kementerian itu juga akan mengkaji semula struktur pencukaian untuk kenderaan EV.

“Pada ketika ini mengikut kaedah akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memang ada formula perkiraan untuk EV yang menggunakan pengiraan mengikut watt.

“Jadi dari segi pengiraan itu untuk EV pada ketika ini memang lebih mahal daripada kereta-kereta biasa yang menggunakan cc (kapasiti enjin),” katanya.

Ujarnya, pihaknya juga akan memberi komitmen yang kadar cukai yang akan ditetapkan kelak akan lebih murah berbanding kereta biasa lain.

“Itu cadangan kita untuk menggalakkan penggunaan EV. Walaupun pada ketika ini cukai jalan tidak pun dikenakan (cukai jalan dikecualikan sehingga 2025),” katanya.