Harga barang basah, runcit turun ketika PKP

Nur Nadiah melayani pelanggan yang membeli sayuran di gerainya di Pasar Payang, Kuala Terengganu.
Nur Nadiah melayani pelanggan yang membeli sayuran di gerainya di Pasar Payang, Kuala Terengganu.
A
A
A

ALOR SETAR - Harga barangan basah dan keperluan asas di Pasar Besar Alor Setar di sini mencatatkan penurunan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sejak 22 Januari lepas.

Tinjauan Sinar Harian mendapati harga barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran masih terkawal dan dijual pada harga biasa ataupun lebih rendah berbanding sebelum PKP.

Penjual sayur-sayuran, S Selvi, 53, berkata, harga sayur-sayuran khususnya tomato, sawi dan daun sup yang agak mahal sebelum PKP juga kini menunjukkan penurunan sejak beberapa hari.

"Ketika ini, tiada kenaikan harga sayur-sayuran berlaku di Kedah khususnya Alor Setar sebaliknya harganya makin murah dan disifatkan munasabah untuk didapatkan pengguna.

"Contohnya, daun sup yang dijual kira-kira RM18 sekilogram sebelum PKP kini boleh diperoleh sekitar RM7 untuk sekilogram sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, harga tomato dan sawi yang naik sebelum PKP iaitu sekitar RM8 hingga RM9 sekilogram juga kini turun kepada RM6 sekilogram, manakala sayur lain kekal pada harga biasa.

"Difahamkan, harga beberapa jenis sayur-sayuran ini naik sebelum ini disebabkan banjir dan kekurangan bekalan, bagaimanapun keadaan mungkin telah pulih sehingga harga kembali kepada biasa," katanya.

Penjual ikan, Zulkifli Che Ani, 39, berkata, harga ikan dan sotong juga tidak menunjukkan kenaikan dan kekal pada harga biasa sejak beberapa hari lepas.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contohnya, saya peroleh sotong daripada pembekal sekitar RM25 sekilogram dan hanya ambil untung RM1 sahaja, yang mana kira agak berpatutan ketika ini," katanya.

Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip (kiri) memantau harga sayur-sayuran di premis milik S Selvi (kanan) di Pasar Besar Alor Setar di sini.
Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip (kiri) memantau harga sayur-sayuran di premis milik S Selvi (kanan) di Pasar Besar Alor Setar di sini.

Sementara itu, Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip berkata, tiada sebarang kenaikan harga barangan basah ataupun runcit dikesan dalam tempoh PKP sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, banyak barangan didapati menurun khususnya ikan kembung yang kini boleh diperoleh pada harga RM4 hingga RM10 sekilogram mengikut saiz berbanding sekitar RM18 sebelum ini.

Sementara itu, Tinjauan Sinar Harian di Pasar Payang, Kuala Terengganu mendapati harga sesetengah sayuran masih tinggi, namun sebahagiannya sudah mula turun harga.

Rata-rata peniaga menyatakan kenaikan harga sayuran ketika ini mungkin disebabkan banjir dan sekatan PKP yang dilaksanakan menyebabkan sesetengah sayuran sukar diperoleh.

Peniaga sayuran, Nur Nadiah Musa, 25, berkata, harga sesetengah sayuran mula meningkat sejak beberapa minggu lalu.

"Sejak sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), harga sayur mula naik, ditambah pula dengan banjir. Mungkin bekalan sukar diperoleh, jadi harga meningkat.

"Sayur manis (pak choy) misalnya, sebelum ini harga antara RM5 ke RM6 tapi sekarang RM9.50. Tapi harga kangkung sebelum ini RM10, sekarang sudah turun ke RM6.

"Harga lada pula beberapa hari lalu antara RM16 ke RM18 sekilogram dulu, tapi sudah turun RM14. Tiga hari lepas, harga tomato dan timun RM8 tapi sekarang sudah turun RM3.50," katanya.