X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Ummah Negeri Sembilan buat laporan polis terhadap Anwar

Rosmin (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sikamat, Seremban pada Isnin.
A
A

SEREMBAN - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Negeri Sembilan membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dipercayai melakukan hasutan kepada ahli Parlimen supaya menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membatalkan darurat.

Pengerusinya, Rosmin Adam berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menghentikan perbuatan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan Anwar yang berhasrat menulis surat untuk mencabar proklamasi darurat serta menghasut pihak lain melakukan perkara yang sama.

"Hasil seruan yang dilakukan Anwar itu, beliau mendakwa telah mempunyai sebanyak 114 atau 115 sokongan bagi mengadakan sidang Parlimen.

"Kita sedia maklum peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 150(8)(a), Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh memperkenankan darurat setelah Seri Paduka Baginda berpuas hati.

"Kepuasan hati Seri Paduka Baginda membuat keputusan darurat tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak atau di mana-mana mahkamah dalam negara ini. Keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah mutlak dan sah.

"Maka perbuatan Anwar merupakan satu bentuk hasutan dan boleh menimbulkan perasaan gelisah dalam kalangan rakyat negara ini, juga satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang ordinan darurat yang dikuatkuasakan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Sikamat di sini pada Isnin.

Tambah beliau, bagi menghentikan tindakan menghasut berkenaan, Ummah berharap agar satu siasatan dan tindakan pencegahan perlu dilakukan bagi memastikan kestabilan negara.

Kata Rosmin, kesalahan yang dibuat oleh Anwar itu amat serius kerana boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

"Ummah menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama mematuhi keputusan yang dibuat oleh kerajaan bagi membendung wabak Covid-19 yang sedang dihadapi oleh negara," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Anwar mencadangkan agar semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Seri Paduka Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen supaya berbuat demikian dalam kadar segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang akan cabar pengisytiharan darurat: Anwar

Anwar hantar surat kepada semua MP rayu Agong batal darurat


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!