X

Kindly register in order to view this article
!

MEF saran moratorium automatik

Buat masa ini, moratorium dilaksanakan secara bersasar khusus kepada mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa sahaja.
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyarankan agar moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan dilaksanakan semula seperti yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pelaksanaan semula moratorium itu mampu membantu sektor ekonomi untuk terus bertahan dan mengurangkan kadar pembuangan pekerja secara besar-besaran.

Beliau berkata, walaupun moratorium masih berjalan tetapi ia tidak menyeluruh, sebaliknya dikhususkan kepada mereka yang benar-benar terkesan dengan keadaan ekonomi semasa sahaja.

“Para peminjam yang terjejas dengan Covid-19 boleh memohon secara terus kepada pihak bank untuk menyusun semula atau menangguhkan bayaran hutang tersebut.

Shamsuddin
Shamsuddin

“Pada saya, ia mengambil masa dan menimbulkan banyak kerenah birokrasi kerana kita tahu para peminjam sama ada korporat atau individu memang amat terjejas dengan keadaan sekarang.

“Cuba bayangkan kalau masing-masing terpaksa jumpa bank, buat temu janji, buat kertas kerja dan perlu kemukakan bukti.

“Saya rasa tindakan ini sukar untuk dilakukan dan kurang produktif,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan ahli Parlimen pembangkang yang meminta kerajaan melaksanakan semula moratorium pinjaman secara automatik bagi tempoh enam bulan.

Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani 25 ahli Parlimen itu, inisiatif enam bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, sebelum ini MEF pernah mencadangkan kepada kerajaan agar melanjutkan pelaksanaan moratorium yang tamat tempoh enam bulan, bagaimanapun kerajaan memperkenalkan moratorium secara bersasar.

“Kalau moratorium tidak diberi secara keseluruhan, banyak syarikat akan terkontang-kanting dan kemungkinan besar mengambil jalan mudah seperti mengurangkan pekerja atau menutup syarikat,” kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!