Empat tahun era Trump

A
A
A

JOSEPH Robinette Biden Jr (Joe Biden) yang berusia 78 tahun mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46 dalam sebuah majlis umum yang disaksikan oleh dunia pada hari Rabu, 20 Januari 2021 di Bangunan Kapitol, Washington, D.C.

Kamala Devi Harris yang berusia 56 tahun juga mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden AS ke-49 pada majlis sama. Kamala Harris juga dipanggil sebagai 'Miss Harris' atau Cik Harris, selain Naib Presiden Harris. Cik Harris ialah Naib Presiden Amerika wanita yang pertama dan pegawai kerajaan wanita tertinggi yang pernah dilantik di AS. Harris ialah Naib Presiden Afrika Amerika dan Asia Amerika yang pertama.

Douglas Emhoff, seorang peguam Amerika, suami Cik Harris, ialah suami pertama dalam sejarah AS bagi seorang Naib Presiden. Sementara Presiden Biden ialah “First Gentleman”, Tuan Emhoff ialah “Second Gentleman” pertama dalam sejarah Amerika. Emhoff ialah juga pasangan (spouse) Yahudi yang pertama bagi seorang Naib Presiden Amerika.

Majlis ini diadakan di tengah-tengah krisis politik, kesihatan awam, ekonomi, dan keselamatan negara yang luar biasa, termasuk pandemik Covid-19 yang berterusan dalam sebuah negara Amerika yang terbahagi dua.

Krisis politik Amerika dicetuskan oleh cubaan mantan Presiden Donald Trump membatalkan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2020. Ini menyebabkan serangan bangunan Kapitol pada 6 Januari 2021 oleh rakyat Amerika penyokong Trump,dan pendakwaan (impeachment) kedua Trump.

Semasa majlis angkat sumpah itu AS berhadapan dengan dua risiko besar. Pertama ialah risiko penularan Covid-19. Kedua ialah risiko berlakunya keganasan berhampiran bangunan Kapitol. Kali ini ancaman keganasan yang dibimbangkan datang daripada rakyat AS sendiri.

Seluruh empat tahun Trump menjadi presiden merupakan satu tempoh yang penuh iktibar dalam sosiopolitik Amerika. Apa-apapun kempen serta kejayaan pilihan raya baik untuk golongan Republikan atau kelompok Demokrat, kebajikan serta kepentingan puak Zionis Israel terus tetap terjaga.

Golongan evangelis Kristian berkulit putih atau Zionis Kristian merupakan kumpulan yang paling kuat menyokong Trump. Bagi rakyat Palestin, sesiapa saja yang menjadi presiden Amerika, polisi AS terhadap Palestin mestilah menguntungkan Israel. Namun, rakyat AS yang beragama Islam menyokong Biden. Antara dua peribadi yang boleh memudaratkan, mereka memilih yang kurang memudaratkan.

Artikel Berkaitan:

Buku-buku yang memuji Donald Trump; dan sudah tentu buku-buku yang mengeji presiden Amerika Syarikat yang ke-45 itu banyak ditulis hingga kini.

Fokus

Pada tahun 2017, Dr. Bandy X. Lee, seorang pakar psikiatri forensik telah menjadi editor kepada buku yang berjudul The Dangerous Case of Donald Trump. Edisi pertama buku itu ditulis oleh 27 orang pakar psikiatri, pakar psikologi dan profesional kesihatan mental.

Edisi kedua ditulis oleh tambahan 10 orang profesional lagi, yakni 37 orang penulis semuanya. Buku itu memfokus kepada ketidak stabilan jiwa Presiden Trump yang baharu sahaja dilantik sebagai presiden AS tahun sebelumnya. Bandy Lee yang berketurunan Korea itu ialah warga AS yang dilahir dan dibesarkan di New York.

Sejak penerbitan buku yang tersohor dan kontroversial itu, ramai lagi penulis yang memberi perhatian kepada personaliti narsisistik Presiden Trump.

Wang Yiming dan Shi Yinhong telah menganalisis kesan personaliti Trump ke atas polisi luar negara Amerika dalam jurnal berkala Foreign Affairs Review,2018,Vol. 35,No. 01yang diterbitkan oleh negara China. Judul makalah itu ialah “Sources of Donald Trump’s conduct: personality traits and foreign policy preferences”.

Pada 9 Januari tahun 2021, satu kumpulan (termasuk Bandy Lee) yang menamakan diri mereka World Mental Health Coalition mendesak supaya Trump dipecat daripada jawatannya. Pada 17 Januari 2021, Bandy Lee dan Jeffrey D. Sachs menerbitkan satu penulisan yang berjudul “One Group Who Knew All Along How Dangerous Trump Was: Mental Health Experts” dan mencadangkan perubahan kepada Twenty-fifth Amendment to the United States Constitution. Ini supaya kuasa jabatan presiden dikurangkan dan negara tidak terdedah kepada sikap semberono seorang individu yang mempunyai minda yang tidak stabil.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat