Majlis Presiden PN puas hati taklimat proklamasi darurat

Muhyiddin mendengar taklimat proklamasi darurat yang dibentanga pada Mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN pada petang Ahad.
Muhyiddin mendengar taklimat proklamasi darurat yang dibentanga pada Mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN pada petang Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyambut baik taklimat mengenai proklamasi darurat dalam mesyuarat yang diadakan secara dalam talian pada petang Ahad.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, taklimat itu disampaikan Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Menurutnya, mesyuarat selama lebih kurang dua jam itu berlangsung dalam suasana akrab dan muhibah.

"Pelbagai isu telah dibincangkan. Kesemua ahli mesyuarat berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan panjang lebar mengenai Ordinan Darurat, pengurusan darurat, pengurusan pandemik Covid-19 serta pelan imunisasi vaksin yang akan bermula pada bulan Februari 2021.

Mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN disertai 12 presiden parti dan seorang timbalan presiden.
Mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN disertai 12 presiden parti dan seorang timbalan presiden.

"Majlis Presiden akan terus menjadi platform perbincangan tertinggi bagi kesemua parti politik dalam kerajaan PN demi memastikan kestabilan politik, kelancaran pentadbiran kerajaan, menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Katanya, mesyuarat yang dipengerusikan beliau dihadiri seramai 12 presiden parti iaitu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.

Turut serta adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), MCA, MIC, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), manakala Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diwakili Timbalan Presiden.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Seri Paduka Baginda memberi perkenan pelaksanaan tempoh darurat itu sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.