Dana RM90 juta: 'Saksi hidup' ditawar khidmat guaman percuma

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
A
A
A

KLANG - Adun Meru sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pemberi maklumat yang menjadi saksi rakaman audio berhubung dakwaan dana 1MDB bernilai RM90 juta disalurkan ke akaun beberapa pemimpin Pas.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, Biro Undang-undang (Kanun) Amanah juga akan menyediakan peguam profesional yang bersedia pada bila-bila masa diperlukan.

Ia termasuk memberi khidmat nasihat guaman, juru runding, kepakaran dan lain-lain berkaitan undang-undang bagi memastikan segala maklumat disampaikan saksi dilindungi sepanjang masa.

“Saya sedia tawar khidmat guaman percuma kepada ‘saksi hidup’ seperti diakui seorang ulama terbabit untuk melindungi identiti mereka dalam memberi laporan secara tuntas dan selesa.

“Untuk mereka yang terlibat, boleh berhubung secara peribadi melalui pejabat pusat khidmat saya bagi selesaikan segala kemelut yang timbul," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan setelah menerima laporan daripada pihak polis berhubung dakwaan Pas menerima dana sebanyak RM90 juta.

"Umum mula berminat dengan perkembangan berita itu selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown melalui penyelesaian luar mahkamah.

“SPRM segera umum tindakan panggil beberapa individu terlibat secara langsung, ia mungkin dalam kalangan mereka yang mengaku menjadi saksi rakaman audio dikatakan milik pemimpin kanan Pas serta pemilik audio tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perkembangan demi perkembangan ini tentunya legakan semua pihak terutama pendokong Pas yang mahu kebenaran tertegak daripada isu ini.

"Mereka mahu memastikan siapakah sebenarnya berbohong dan melindungi kebenaran di sebalik isu in.

"Apakah perkara tersembunyi di sebalik dakwaan menerima sejumlah duit RM90 juta tersebut,” katanya.

Tawaran dibuat bersandarkan kemungkinan sebahagian mereka yang jadi saksi lihat dan dengar pengakuan penting pemilik audio itu berhadapan dilema.

"Mungkin mereka rasa takut untuk tampil kerana nama akan terpalit dan akan dicemuh serta disisih atau dihina oleh ahli dan penyokong Pas,” katanya.