Kemenangan PH pada PRN lebih utama - ADUN Meru

Mohd Fakhrulrazi
Mohd Fakhrulrazi
A
A
A

KLANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyerahkan masa depan politiknya kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Ujar Mohd Fakhrurazi, sama ada beliau bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bukanlah satu keutamaan, sebaliknya kemenangan PH dalam PRN berkenaan.

Menurutnya, penentuan calon sudah pastinya akan melalui proses rundingan antara kepimpinan PH dan gabungan parti itu dan beliau akur dengan sebarang keputusan parti.

"Sekarang ini keutamaan saya untuk memastikan PH atau gabungan ini (PH bersama BN) menang pada PRN dan soal siapa bertanding itu parti yang akan menentukan.

"Soal pembahagian kerusi juga akan ditentukan di peringkat rundingan yang sudah pastinya mereka lebih memikirkan soal kemenangan daripada individu.

"Bagi saya sama ada dikekalkan di DUN Meru atau ke tempat lain akan ditentukan pihak parti kerana yang penting kita mahukan kemenangan," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, beliau memenangi kerusi DUN Meru atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) namun bertukar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pada itu, Mohd Fakhrulrazi berkata, pelbagai sudut diambil kira dalam penentuan calon PRN dan parti pastinya mementingkan soal kepentingan bersama berbanding kehendak individu.

"Saya yakin selepas pengagihan kerusi yang akan dimaklumkan kelak sebenarnya satu keputusan yang tepat bagi kita mengekalkan kestabilan (politik) bukannya memikirkan kepentingan tentang satu-satu pihak sebaliknya kepentingan bersama.

"Itu objektif kita yang mahukan iaitu PH dan gabungannya menang pada PRN Selangor dan matlamat itu yang lebih penting," tambah Mohd Fakhrulrazi.