X

Kindly register in order to view this article
!

Impian kanak-kanak hidap leukemia naik kereta polis tercapai

Mohamad Ammar melambai tangan sebelum dibawa meronda menaiki MPV polis.
A
A

KEPALA BATAS - Hasrat seorang kanak-kanak lelaki yang menderita penyakit kanser leukemia tahap empat untuk menaiki kereta peronda (MPV) polis tercapai apabila ia direalisasikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini pada Jumaat.

Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan yang kini berusia 7 tahun berpeluang menaiki MPV terbaharu jenis Honda Civic turut ditemani sendiri Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam satu majlis khas yang diadakan.

Anak sulung daripada empat beradik itu disahkan menderita penyakit kanser sejak berusia dua tahun mengakui sangat teruja apabila impiannya sejak kecil dapat ditunaikan walaupun hanya seketika menaiki kenderaan berkenaan.

"Seronok sangat dapat naik kereta polis hari ini kerana memang cita-cita saya mahu menjadi polis kerana nak tangkap orang jahat.

"Terima kasih pihak polis kerana beri peluang kepada saya menaiki kereta polis hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis SPU di sini pada Jumaat.

Turut menemani Mohamad Ammar ibunya, Nur Syazwani Mazlan, 30.

Mohamad Ammar nyata gembira apabila impiannya untuk menaiki kereta peronda (MPV) polis tercapai.
Mohamad Ammar nyata gembira apabila impiannya untuk menaiki kereta peronda (MPV) polis tercapai.

Menceritakan mengenai penderitaan yang dialami anaknya, Nur Syazwani berkata, keadaan kesihatan Mohamad Ammar ketika ini semakin merosot malah segala sesi rawatan serta ubat oleh hospital juga telah dihentikan kerana doktor memaklumkan kansernya berada pada peringat akhir.

Katanya, sel kanser anak tunggal lelakinya itu telah merebak ke paru-paru dan saluran pernafasan serta beliau memerlukan bantuan oksigen setiap masa bagi memastikan Mohamad Ammar dapat bernafas dengan baik.

"Mohamad Ammar disahkan mengalami sakit leukemia sejak dia berusia dua tahun dan sepanjang menerima rawatan dia berada dalam keadaan baik namun sejak November lalu keadaan kesihatannya semakin merosot malah doktor mengesahkan kansernya telah berada pada tahap empat serta tiada lagi rawatan untuknya.

"Memang sejak dulu dia selalu maklumkan mahu naik MPV polis kerana begitu minat dengan kenderaan itu, malah dia juga meminta untuk dibelikan kereta mainan tersebut, namun sejak beberapa bulan lalu Mohamad Ammar kerap kali meminta untuk naik MPV kerana terlalu minat serta teruja," katanya.

Nur Syazwani yang tidak bekerja mewakili keluarga termasuk suaminya Mohamad Azuan Abdul Mutalib,33, yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis kerana menunaikan hasrat serta impian anaknya menaiki MPV polis hari ini.

Noorzainy menyampaikan hadiah kepada Mohamad Ammar.
Noorzainy menyampaikan hadiah kepada Mohamad Ammar.

Sementara itu, Noorzainy berkata, beliau dimaklumkan oleh seorang anggotanya berhubung impian kanak-kanak tersebut petang semalam sebelum terus memberi kebenaran untuk membawa Mohamad Ammar menaiki MPV polis hari ini.

"Walaupun dalam kesibukan polis ketika ini bagi menjalankan tugas terutamanya Pelaksanaan Perintah Kawalan (PKP), kami sedaya upaya merealisasikan impian Mohamad Ammar untuk menaiki MPV hari ini supaya dengan membawanya sedikit sebanyak kami dapat mengembirakan dia.

"Menjadi sebahagian daripada tanggungjawab polis untuk membantu masyarakat dan kami juga mengambil berat dengan impian Mohamad Ammar, malah pasukan polis IPD SPU mendoakan supaya beliau dapat sembuh dan kembali sihat semula," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!