Tikam rakan sampai usus terburai

Aidi Sham (tengah) menunjukkan pisau pemotong daging dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.
Aidi Sham (tengah) menunjukkan pisau pemotong daging dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam rakan senegara sehingga terburai usus perut di rumah sewanya di premis perniagaan di Lukut di sini, dalam kejadian jam 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Ailing berusia 20-an ditemui terbaring berseluar dalam di depan pintu bilik.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat pergaduhan melibatkan warga asing di tingkat satu sebuah rumah kedai.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa ditemui terbaring di depan pintu bilik dengan kesan tikaman pada perut sebelah kiri dengan keadaan usus perutnya terburai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Port Dickson di sini.

Mayat mangsa ditemui terbaring di depan pintu bilik
Mayat mangsa ditemui terbaring di depan pintu bilik

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat kesan pergelutan di premis lima bilik berkenaan dan turut menemui pisau pemotong daging sepanjang 33.5 sentimeter di atas meja ruang dapur.

Susulan itu beliau berkata, polis telah menggunakan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan suspek dan dalam tempoh dua jam, seorang suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Kuala Lukut.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, polis berjaya menahan lima lagi suspek iaitu 1 kilometer dari lokasi kejadian ketika mereka sedang menunggu di perhentian bas.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya kesemua suspek cuba melarikan diri selepas kejadian itu yang mana lima daripada mereka tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Sementara itu beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dibunuh kerana suspek berang diprovok berkenaan peristiwa di kampung mereka di Myanmar.

Katanya, suspek tinggal bersama dan mereka bekerja sebagai pembantu restoran serta telah berada di negara ini sejak sebulan lalu.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an telah direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.