X

Kindly register in order to view this article
!

Pembaikan, pemulihan Air Terjun Tanjung Batu dilakukan

Alur air yang dilaporkan sebagai Air Terjun Tanjung Batu di Hutan Simpan Segari Melintang terjejas dan syarikat operator diarah menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan. - Foto ihsan pembaca
A
A

IPOH - Syarikat operator yang menjalankan aktiviti kuari bakal berhadapan tindakan undang-undang jika gagal melakukan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan di alur air kawasan Air Terjun Tanjung Batu di Segari yang dilaporkan musnah baru-baru ini.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, siasatan awal mendapati operator tersebut melanggar syarat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) termasuk tidak melantik Environment Officer (EO) yang bertauliah hingga menyebabkan kegagalan kawalan hakisan dan mendapan di tapak projek.

“Perintah Larangan dan Perintah Berhenti Kerja telah dikeluarkan pada Rabu di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghalang operator kuari beroperasi serta-merta.

“Semua kerja pembangunan dihentikan dan pelesen diarah melakukan pembaikan dan pemulihan di alur air bermusim tersebut. Pelanggaran syarat ini akan berdepan dengan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Pegawai JAS dan Pejabat Exco melakukan tinjauan di lokasi terjejas di Hutan Simpan Segari Melintang. - Foto ihsan pembaca
Pegawai JAS dan Pejabat Exco melakukan tinjauan di lokasi terjejas di Hutan Simpan Segari Melintang. - Foto ihsan pembaca

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dan pemantauan berkaitan isu kemusnahan alam sekitar di kawasan itu pada Khamis yang turut dihadiri Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop; Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Ahmad Anur Othman dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Zul.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan dan pemulihan segera di kawasan terjejas bermula pada Khamis dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

“Sekiranya orang ramai mendapati ada jentera yang bergerak di sekitar kuari, ia merupakan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan yang sedang dilakukan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengesahkan bahawa alur air yang dilaporkan sebagai Air Terjun Tanjung Batu itu masih terpelihara.

“Kawasan terjejas itu sebenarnya alur air bermusim yang muncul apabila berlaku hujan terutama ketika hujan lebat sahaja iaitu hasil dari satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter di dalam kawasan yang diberi lesen di dalam Kompartmen 16 Hutan Simpan Segari Melintang.

“Air terjun itu sebenarnya masih terpelihara dan langsung tidak terjejas selain berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusaha hasil pengeluaran batu kuari dengan jarak satu kilometer dari tapak pengkuarian tersebut,” katanya.

Akmal berkata, kerajaan negeri komited memulihara kelestarian alam sekitar dan prihatin terhadap kelangsungan sungai di negeri itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!