Biden perketat pemakaian pelitup muka di AS

Gambar fail menunjukkan beberapa orang memakai pelitup muka di dalam sebuah tren bawah tanah di New York - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa orang memakai pelitup muka di dalam sebuah tren bawah tanah di New York - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Khamis memperketatkan peraturan pemakaian pelitup muka dan mengarahkan kuarantin dilakukan ke atas orang ramai yang memasuki AS menerusi kapal terbang.

Arahan itu dibuat selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Presiden AS pada hari Rabu di bangunan Capitol, Washington bagi menggantikan, Donald Trump daripada parti Republikan.

Biden daripada parti Demokrat yang menandatangani 10 arahan eksekutif di Rumah Putih memberitahu rakyat di negaranya bahawa kematian akibat pandemik Covid-19 dijangka meningkat kepada setengah juta berbanding lebih 400,000 orang ketika ini.

"Kita kini berada dalam darurat kebangsaan. Sudah tiba masanya kita berurusan dengan cara yang sama," katanya kepada AFP.

Ujar Biden, di bawah pentadbirannya, para saintis akan bekerja secara bebas tanpa gangguan daripada politik.

Menurutnya, para pengembara ke AS diperlukan untuk dikuarantin sejurus selepas tiba di negara berkenaan.

Sebelum ini, pada era Trump, keputusan ujian negatif Covid-19 perlu diperoleh oleh para pengembara dan ia merupakan peraturan ketat semasa negara tersebut di bawah pentadbirannya ketika beliau menjadi Presiden.

Arahan lain Biden ialah memberikan nafas baharu terhadap program vaksinasi dan meluaskan lagi peraturan pemakaian pelitup muka kepada orang ramai yang menaiki pengangkutan awam.

Artikel Berkaitan:

Biden pernah mengumumkan sasaran untuk 100 juta vaksin Covid-19 disuntik hanya dalam tempoh 100 hari dengan pakar-pakar menyatakan ia boleh dilakukan.

Sehingga kini, seramai 16.5 juta dos telah disuntik di AS.

Biden berkata, pentadbirannya sedang menambahkan tempat-tempat untuk rakyat AS mendapatkan suntikan vaksin dengan pusat komuniti dan staf perubatan tambahan akan memantaunya.

Beliau juga memulihkan semula peranan pakar penyakit berjangkit iaitu Dr Anthony Fauci untuk menjadi penasihat di Rumah Putih selepas Trump tidak menyenangi amarannya tentang pandemik Covid-19. - Agensi