Lebih 1 juta kit ujian pantas Covid-19 digunakan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan 1,266,862 persampelan Covid-19 dengan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui perkongsian di Facebooknya berkata, kaedah itu digunakan sejak Mei tahun lalu.

"Ketika itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi mengesyorkan ujian ini tetapi Malaysia memulakan langkah ini," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, susulan peningkatan kes Covid-19, penggunaan ujian RTk-Ag semakin meningkat di seluruh negara.

"Di Sabah sahaja, penggunaannya hampir mencecah 100,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata, setiap kit ujian yang digunakan perlu mempunyai sensitiviti melebihi 80 peratus dan spesifikasi melebihi 97 peratus.

Katanya, RTK-Ag digunakan apabila sistem kesihatan benar-benar terbeban dengan pandemik.

"Selain itu, sekiranya ujian Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) memakan masa sehingga 72 jam atau tidak tersedia, RTK-Ag akan digunakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, bagi mendapatkan keputusan tepat, ujian RTK-Ag perlu dilakukan oleh pegawai terlatih.

"Ujian harus dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari pertama selepas bergejala," katanya.