X

Kindly register in order to view this article
!

Ops Payung sepanjang PKP di Ipoh

A Asmadi memeriksa kenderaan pengguna jalan raya pada hari pertama pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pada Jumaat.
A
A

IPOH - Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh melaksanakan Ops Payung selain sekatan jalan raya (SJR) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat di beberapa lokasi strategik sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, Ops Payung tersebut dilaksanakan dengan dua tujuan iaitu memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP selain untuk pencegahan jenayah.

Menurutnya, kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar awam dan kompleks membeli belah menjadi lokasi utama Ops Payung berkenaan.

"Ops payung ini bermula hari ini (Jumaat). Konsepnya lebih kurang rondaan tetapi kita akan menyediakan payung di kawasan itu di mana dalam kita buat rondaan, kita akan berhenti dan menasihati orang ramai mengenai pematuhan SOP.

"Sekiranya perlu, kita akan keluarkan tindakan kompaun namun kompaun itu merupakan solusi terakhir jika didapati keadaan tak terkawal dan perlunya penglibatan kita secara lebih agresif di tempat-tempat tersebut," katanya kepada pemberita selepas meninjau SJR di Jalan Kuala Kangsar, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan PKP di Perak, A Asmadi berkata, di daerah Ipoh terdapat lima SJR yang dilaksanakan iaitu tiga lokasi sempadan negeri iaitu Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, berhampiran Plaza Tol Jelapang arah selatan dan plaza tol Ipoh Selatan arah utara.

Menurutnya, dua lagi SJR pula dilakukan di Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Bercham bermatlamat untuk memastikan mereka yang memasuki pusat bandar merupakan individu benar-benar mempunyai urusan penting.

Beliau berkata, pihak polis amat menitikberatkan pematuhan SOP PKP khususnya berkaitan pemakaian pelitup muka yang betul selain penjarakkan fizikal dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

"Team SOP kita akan memastikan semua pematuhan ini diikuti sebab kita dapati terdapat pemakaian pelitup muka yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Pakailah ikut cara sebenar dan kalau boleh patuh penjarakkan fizikal ditetapkan.

"Saya merayu kepada warga Ipoh agar mematuhi semua arahan yang telah kita beri dan kita harapkan kepada peniaga dan orang awam sama-sama memainkan peranan masing-masing untuk memastikan rantaian Covid-19 ini berhenti dan tidak lagi menghantui kita," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!