X

Kindly register in order to view this article
!

Vape boleh kurangkan tabiat merokok

A
A

SEORANG pakar dalam bidang ketagihan tembakau dan rawatannya dari Pusat Pengajian Kesihatan Awam Global, New York University (NYU) telah menyuarakan kebimbangan beliau tentang 'Teori Zombie' yang menghantui kajian Pengurangan Bahaya Tembakau (THR).

THR ialah strategi kesihatan awam bagi mengurangkan risiko kesihatan terhadap individu sering menggunakan produk tembakau.

Kaedah itu banyak diguna pakai seperti di United Kingdom (UK), Norway, Sweden, Jepun dan Korea Selatan yang menjadikan vape sebagai alternatif kepada produk tembakau tradisional.

Dalam pembentangannya di Sidang Kemuncak Maya E-Rokok 2020, Profesor Sains Social dan Tingkah Laku, NYU, Dr. Raymond Niaura berkata, agenda saintifik mengenai kajian THR dipacu oleh kumpulan berkepentingan dan bukannya ahli sains.

Oleh yang demikian, menurut beliau, agenda tersebut didorong oleh 'Teori Zombie', yang “tidak boleh disanggah dengan bukti dan tidak boleh dimatikan.”

Niaura memberikan contoh tiga teori termasuk Gateway Theory yang mendakwa bahawa penggunaan vape mendorong pengguna kurang matang iaitu golongan belia untuk mula merokok.

Dua lagi teori ialah penggunaan vape tidak membantu perokok berhenti merokok dan penggunaannya mengakibatkan kemudaratan biologi.

“Gateway Theory sudah lama wujud, bukan sahaja dalam isu berkaitan tembakau, tetapi dalam kajian semua jenis penggunaan dadah. Namun teori ini semakin melekat dalam dunia tembakau,” katanya.

Satu contoh katanya, ialah kajian pada 2018 yang dikendalikan oleh Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Kebangsaan (NASEM) di Washington DC.

Kajian tersebut merumuskan bahawa vape meningkatkan risiko menggunakan rokok tembakau yang dinyalakan dalam kalangan belia walaupun terdapat bukti bahawa tabiat merokok semakin berkurangan.

“Mereka (NASEM) telah mengabaikan bukti ini dan menyimpulkan bahawa, pada pandangan mereka sekurang-kurangnya, penggunaan vape tiada apa-apa kaitan dengan pengurangan tabiat merokok dalam kalangan belia,” katanya.

Malah, katanya satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal 'Addiction' telah menyanggah hasil penemuan NASEM.

“Apa yang diperhatikan mereka apabila mengkaji bukti yang sama ialah kajian dibatasi oleh bias penerbitan tersebut, tahap keciciran sampel yang tinggi serta pelarasan yang tidak mencukupi bagi faktor pembauran yang mungkin wujud.

“Hentikan semua ini, jangan laksanakan kajian Gateway Theory lagi. Tetapi jika anda perlu mengkaji hipotesis ini, buat kerja dengan lebih teliti dengan mengukur faktor pembauran dan gunakan kaedah kesimpulan bersebab,” katanya, sambil menambah hanya sebahagian kecil kajian Gateway Theory berbuat demikian.

Mengenai 'Teori Zombie' yang menyatakan bahawa vape tidak membantu perokok berhenti merokok, katanya, ini timbul daripada kajian yang termasuk kajian pemerhatian yang dibatasi dan cenderung kepada bias pengguna.

Menurut Niaura, kajian lebih baharu, seperti ujian rambang terkawal (RCT) yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England dan Penilaian Cochrane 2020 yang menyimpulkan bahawa vape mengatasi terapi penggantian nikotin dalam usaha membantu perokok menghentikan tabiat ini.

Tambah beliau, RCT ialah cara untuk menyelidik THR atau pengurangan bahaya tembakau.

Mengenai 'Teori Zombie' terakhir bahawa penggunaan vape menyebabkan bahaya biologi, Niaura merujuk kepada satu kajian terkini yang diterbitkan dalam jurnal Terbuka Rangkaian JAMA, sebuah jurnal perubatan yang diterbitkan oleh Persatuan Perubatan Amerika.

Kajian tersebut meninjau kesan bertukar kepada vape daripada rokok dan mengukur tahap kekarsinogenan (carcinogenicity) dan pendedahan.

Menurutnya, data biopenanda dalam kajian tersebut mendapati pengurangan 'agak ketara' dalam kalangan perokok yang bertukar kepada vape, dan sedikit pengurangan dalam kategori dwipengguna berbanding dengan kategori rokok sahaja.

“Apa yang penting tentang kajian seperti ini? Ia termasuk semua pengguna, yang melibatkan orang yang telah bertukar sepenuhnya (kepada vape), orang yang menggunakan kedua-duanya (dwipengguna) dan orang yang kekal menghisap rokok,” kata Niaura.

Beliau berkata, lebih daripada sedozen kajian lain menunjukkan pertukaran kepada vape mempunyai manfaat ketara yang dilihat dalam data biopenanda dan data keputusan kesihatan.

Niaura berkata terdapat kekurangan kajian seperti ini kerana ahli-ahli sains belum lagi menetapkan agenda, dan terdapat keperluan untuk memberi tumpuan terhadap isu-isu kajian untuk menyanggah 'Teori Zombie'.

Menurutnya, lebih banyak kajian THR harus memberi tumpuan terhadap penyelidikan melibatkan manusia, penglibatan perokok sebagai kumpulan perbandingan, dan kajian keputusan kesihatan yang mengecualikan kajian pemerhatian yang mungkin mempunyai pelbagai faktor pembauran.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan akan mengenakan kadar 10 peratus duti eksais ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik, termasuk vape dan 40 sen bagi setiap mililiter ke atas cecair vape, berkuat kuasa 1 Januari 2021.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!