Pas akan terus kekal bersama UMNO, Bersatu

Kerjasama Pas dengan UMNO dan Bersatu dilihat bukanlah semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.
Kerjasama Pas dengan UMNO dan Bersatu dilihat bukanlah semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama antara Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat akan berkekalan untuk memerintah negara ini mengikut acuan yang dipersetujui.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berpandangan, kerjasama parti Islam berkenaan dengan UMNO dan Bersatu bukanlah semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kerjasama antara Pas dengan UMNO dan Bersatu berbeza kerana ia diasaskan kepada kerangka yang lebih jelas iaitu untuk memastikan dominasi politik Melayu Islam kekal di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas adakah Pas akan mengulangi naratif bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu semata-mata untuk memenangi PRU15.

Ini kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, kerjasama antara Pas dan DAP ketika dalam Pakatan Rakyat yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini hanya bersifat untuk mendapat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) semata-mata.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, apa yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Marang itu ialah kerjasama dengan DAP pada asalnya bagi merubah politik Malaysia atas asas ‘agree to disagree’.

“Apa yang Pas perjuangkan selagi dalam kerangka perlembagaan, DAP tak boleh tentang. Tetapi jadi sebaliknya, DAP menentang perjuangan Pas yang dibawa mengikut kerangka Perlembagaan seperti pelaksanaan syariah di Kelantan dan pindaan RUU355 (Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

“Situasi ini menyebabkan kerjasama dengan DAP hanya menjadi kerjasama untuk pilihan raya bukan untuk merefomasikan Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu sama, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun berpendapat, tidak ada ahli politik yang bekerjasama membentuk blok politik untuk tidak memenangi pilihan raya.

“Itu adalah satu yang agak sukar kita terima. Biasanya apabila mereka bekerjasama, mereka nak mendapatkan manfaat politik daripada itu terutamanya untuk menambahkan kerusi yang mereka nak tandingi.

“Jika Pas kata kali ini mereka bertanding bukan untuk kerusi tapi untuk memastikan kerjasama Melayu-Islam, itu sekadar retorik politik sahaja,” katanya.