Lapan pembaca bertuah menang RM1,000

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Lapan gambar daripada hampir 500 penyertaan yang dimuat naik di platform media sosial Sinar Harian dipilih sebagai pemenang Peraduan Klik Sinar Harian Di Hatiku dan berjaya memenangi wang tunai RM1,000 seorang.

Peraduan yang berlangsung selama lapan minggu itu berjaya merekodkan lebih 300 penyertaan pembaca yang menghantar pelbagai gambar percutian bersama keluarga di laman Instagram, 50 hantaran di laman Facebook manakala selebihnya adalah penyertaan di laman Twitter.

Kemenangan bagaimanapun berpihak kepada lapan penyertaan terbaik berkenaan selepas gambar berkonsepkan Cuti-Cuti Malaysia yang dimuat naik didapati mempunyai nilai estetika percutian bermakna, foto kreatif, kapsyen yang menarik serta menampilkan hashtag #Sinarhariandihatiku pada setiap posting.

Bagi lapan pemenang berkenaan, hadiah wang tunai tersebut bagaikan rezeki terpijak.

Ada yang mahu berkongsi bersama keluarga selain menyimpan untuk kegunaan masa depan.

Bukan sekadar suka-suka memuat naik gambar percutian bersama keluarga ke laman sosial, bagi pemenang minggu keempat, Nor Idalina Anuar, 30, gambar percutian ke Terengganu pada awal tahun lalu adalah kenangan terindah yang masih tersemat dalam hatinya dan dipertaruhkan dalam peraduan anjuran Sinar Harian.

Gambar percutian Nor Idalina ke Terengganu pada awal tahun lalu terpilih sebagai pemenang minggu keempat.
Gambar percutian Nor Idalina ke Terengganu pada awal tahun lalu terpilih sebagai pemenang minggu keempat.

“Saya tak sangka gambar itu akan terpilih sebagai pemenang.

Artikel Berkaitan:

“Pada saya, gambar percutian itu dapat memotivasikan orang ramai agar meluangkan masa berkualiti bersama keluarga terutama ibu bapa dan anak.

“Ia juga menunjukkan hasil kerja keras bagi memberikan yang terbaik untuk keluarga tercinta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat, Azaril Ameer Yahaya, 39, yang memuat naik gambar percutian santai bersama teman-temannya di Menara Condong Teluk Intan, Perak terpilih sebagai pememang minggu kelima.

Gambar percutian santai Azaril Ameer bersama teman-temannya di Menara Condong Teluk Intan terpilih sebagai pememang minggu kelima.
Gambar percutian santai Azaril Ameer bersama teman-temannya di Menara Condong Teluk Intan terpilih sebagai pememang minggu kelima.

Katanya, beliau gemar memuat naik gambar-gambar percutian bersama kawan-kawan di ikon pelancongan tersohor negeri sendiri dengan pelbagai aksi menarik. Aksi-aksi yang dipaparkan adalah bagi membezakannya dengan ratusan penyertaan yang lain.

“Saya sertai peraduan Klik Sinar Harian Di Hatiku ini bukan sahaja kerana habuannya, malah ia mencungkil kreativiti pembaca Sinar Harian dalam menyemarakkan rasa bangga terhadap negara kita yang semestinya tidak kalah dengan destinasi pelancongan setanding luar negara,” katanya yang akan menggunakan wang kemenangan itu untuk percutian seterusnya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berakhir nanti.

Pemenang minggu keenam pula menjadi milik kakitangan syarikat swasta, Mohd Muhiyadim Mohamad Yusoff, 41.

Gambar bersama keluarga ketika berkelah di Sungai Mahang, Nilai yang dimuat naik oleh Muhiyadim.
Gambar bersama keluarga ketika berkelah di Sungai Mahang, Nilai yang dimuat naik oleh Muhiyadim.

Beliau berkata, peraduan Klik Sinar Harian Di Hatiku wajar dijadikan sebagai acara tahunan kerana ia membawa mesej yang baik kepada pembaca dan penghargaan buat pemain industri fotografi.

“Saya bersyukur atas kemenangan ini. Sebagai seorang jurufoto yang sudah lama dalam industri, saya dianggap ia sebagai satu penghargaan kepada saya. Peraduan seperti ini adalah platform dan peluang terbaik untuk semua jurufoto berkongsi bakat dan minat dalam dunia seni fotografi,” katanya.

Beliau yang menetap di Sepang, Selangor memuat naik gambar bersama keluarga ketika berkelah di Sungai Mahang, Nilai, Negeri Sembilan. Gambar berkenaan katanya, adalah lambang suasana kehidupan harmoni yang mencerminkan ikatan persaudaraan.

Katanya, wang RM1,000 yang dimenanginya itu akan turut diagihkan kepada semua ahli keluarga yang terlibat dalam fotografi berkenaan.

Peserta yang tidak berjaya memenangi hadiah wang tunai RM1,000 masih layak menerima baju-T eksklusif Sinar Harian.

Peraduan Klik Sinar Harian Di Hatiku dilancarkan pada 5 Oktober dan berakhir 29 November lalu.

Pemilihan pemenang dibuat secara mingguan bagi membolehkan lebih ramai pembaca membawa pulang hadiah wang tunai.

Pemenang Klik Sinar Harian Di Hatiku

Minggu 1: Rozalia Alik

Minggu 2: Rifqie Zhariff Zuraidi

Minggu 3: Nurul Fazlin Natasya Saroni

Minggu 4: Nor Idalina Anuar

Minggu 5: Azaril Ameer Yahaya

Minggu 6: Mohd Muhiyadim Mohamad Yusoff

Minggu 7: Nur Farahin Ali

Minggu 8: Suzanna Ismail