Pemandu treler langgar khemah sekatan jalan raya ditahan

Pemandu treler ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
Pemandu treler ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pemandu treler ditahan selepas kenderaan dipandunya melanggar tiang khemah sekatan jalan raya dalam kejadian di Jalan Chain Ferry di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemandu treler berusia 28 tahun tersebut dalam perjalanan dari Johor ke sebuah kilang di Perai ketika kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu.

Menurutnya, selepas membuat penghantaran muatan besi, treler tersebut melalui sekatan jalan raya untuk ke bengkel membaiki tayar lori di Taman Limbungan Kapal.

“Ketika kejadian, pemandu tersebut tidak menggunakan laluan khas di sebelah kanan sebaliknya melalui laluan kenderaan awam di laluan kiri.

“Akibat kejadian tersebut, bahagian kiri badan treler telah melanggar dan bergesel dengan tiang khemah sekatan jalan raya sehingga menyebabkan kerosakan terhadap beberapa struktur tiang dan palang khemah,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, bagaimanapun tiada kecederaan melibatkan pegawai dan anggota pihak berkuasa yang sedang bertugas.

“Pemandu treler berasal dari Nibong Tebal itu tidak mempunyai lesen memandu Kelas E yang sah. Bagaimanapun, lesen kenderaan bermotor (LKM) treler masih sah dan tidak tamat tempoh.

“Ujian saringan air kencing menunjukkan negatif. Hasil semakan, dia mempunyai lapan rekod lampau melibatkan masing-masing empat kes jenayah dan dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 jika sabit kesalahan.