Bakal pemilik KDA FC akan umum jersi baharu

Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
A
A
A

SYARIKAT yang akan mengambil alih 80 peratus saham Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) bakal mengumumkan jersi baharu pasukan itu nanti.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini, urusan memuktamadkan pengambilan saham oleh syarikat berkaitan sedang diuruskan dan jersi pasukan sudah disiapkan.

Katanya, pihaknya belum pasti tarikh proses pengambilan saham dimuktamadkan dengan syarikat berkenaan dan merujuk dengan KFA dan KDA FC untuk mendapatkan makluman.

"Itu adalah urusan syarikat, yang penting saya tidak perlu cari duit banyak. Kita juga belum ada tarikh untuk memperkenalkan jersi baharu kepada orang awam.

"Saya serahkan perkara terbabit kepada syarikat itu yang akan mengumumkan jersi mereka sendiri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan proses pengambilan saham KDA FC.

Tambah beliau, pengurusan bola sepak Kedah tidak lagi akan melalui negeri tetapi melalui syarikat selepas pengambilan saham dimuktamadkan nanti.

Ketika diminta mengulas sama ada pasukan akan mendapat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu,Muhammad Sanusi berkata, semuanya ditentukan syarikat melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dengan KFA.

"Dengan saham 20 peratus ini,ada beberapa bidang yang ditetapkan oleh FAM hanya boleh dikendalikan oleh KFA, jadi kita masih pegang,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua syarikat bakal menjadi pemilik pasukan KDA FC apabila bergabung membeli 80 peratus saham Darulaman FC Sdn Bhd (DFC) yang kini dimiliki Menteri Besar Incorporated (MBI).

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, kerajaan negeri mengambil maklum aduan penduduk setempat berhubung aktiviti pembakaran di kilang tinggal di Gurun.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) mengambil tindakan tegas untuk aktiviti tidak dibenarkan khususnya kilang tidak berlesen,"katanya.