X

Kindly register in order to view this article
!

Penunggang motosikal mengaku polis tidak tendang

Kejadian kemalangan berlaku pada petang Ahad itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.
A
A

GEORGETOWN - Penunggang motosikal yang terlibat kemalangan ketika melarikan diri daripada polis di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, Ahad lalu mengaku tiada kejadian ditendang oleh anggota polis sebagaimana yang didakwa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, perkara itu diakui oleh lelaki berusia 21 tahun itu ketika polis mengambil keterangannya.

Menurutnya, lelaki yang mengalami patah kaki akibat kejadian itu berkata, dia tidak menyedari lampu isyarat di lokasi kejadian ketika itu berada dalam mod 'lampu merah'.

"Kita sudah merekod percakapan penunggang motosikal. Dia mengakui tidak ditendang oleh polis seperti yang didakwa sebaliknya dilanggar sebuah kereta selepas tidak berhenti di persimpangan lampu isyarat.

"Dia yang juga pekerja hotel turut mendakwa tidak perasan lampu isyarat berwarna merah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini pada Selasa.

Soffian berkata, setakat ini, polis hanya mengambil keterangan penunggang motosikal berikutan pembonceng motosikal tersebut masih dirawat di Zon Merah Hospital Pulau Pinang.

"Pembonceng berusia 21 tahun yang tidak bekerja itu masih dirawat kerana cedera di beberapa bahagian badan.

"Kita akan merekodkan keterangannya selepas keadaan mengizinkan," katanya.

Mengulas mengenai tangkapan tujuh lelaki untuk membantu siasatan, Soffian berkata, polis tidak menolak akan menahan beberapa orang lagi bagi melengkapkan siasatan.

"Semuanya berpandukan kepada soal siasat daripada tangkapan pertama ini.

"Selain itu, kita akan melakukan beberapa analisa video yang disebarkan di media sosial sebelum membuat tangkapan lain (sekiranya ada)," katanya.

Terdahulu, polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mengepung dan menghalang tiga anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam kejadian kemalangan melibatkan dua lelaki pada petang Ahad.

Soffian berkata, polis menerima laporan daripada salah seorang anggota URB yang terlibat pada Isnin.

"Laporan polis tersebut dibuat selepas anggota terlibat didatangi kira-kira 30 orang awam di lokasi kejadian lalu menuduhnya dan rakan setugas sengaja menendang motosikal dinaiki dua lelaki sehingga menyebabkan kemalangan.

"Dalam laporan itu juga, ada orang awam yang menimbulkan provokasi dengan cara menolak, mengajak bergaduh selain mengeluarkan kata-kata ugutan.

"Laporan polis itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam dan Seksyen 506 akta sama iaitu melakukan ugutan jenayah," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, tujuh lelaki berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjung Tokong di sini.

"Dua daripada mereka masing-masing memiliki lima dan tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah. Hasil ujian saringan air kencing mereka mendapati positif ganja.

"Selain itu, kita juga menjalankan siasatan terhadap hantaran di media sosial (Facebook dan WhatsApp) yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam kejadian pada Ahad, sekumpulan lelaki dilihat mengepung dan menghalang tiga anggota URB dari IPDTL selepas menuduh anggota polis itu menendang motosikal yang dinaiki dua lelaki tersebut sehingga menyebabkan kemalangan di persimpangan lampu isyarat di hadapan sebuah pasar raya di Tanjung Tokong.

Kumpulan lelaki itu turut membuat provokasi terhadap anggota polis dengan menggunakan kata-kata kesat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!