Bayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi i-Sinar kategori 2

Perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat bayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar kategori 2.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan itu yang akan dibuat mulai 26 Januari depan.

"Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.

"Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen pada Isnin.

Muhyiddin berkata, sejak kemudahan i-Sinar dibuka kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 bermula 21Disember lalu, lebih tiga juta permohonan telah diluluskan setakat 13 Januari lalu dengan jumlah RM24 bilion akan disalurkan pada tahun ini.

Terdahulu, pembayaran untuk permohonan bagi kategori 1 yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.

Kriteria permohonan bagi kategori 1 melibatkan ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Sementara itu, Muhyiddin turut menjelaskan pelaksanaan moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, sepeti yang diumumkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.

"Setakat ini sebanyak 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan bayaran dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi PKS," katanya.